ZII Jia tak pernah menang ke atas Momota dalam enam perlawanan setakat ini. FOTO BAM
ZII Jia tak pernah menang ke atas Momota dalam enam perlawanan setakat ini. FOTO BAM
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Pemain perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia bakal berdepan ujian sebenar apabila bertemu pemain nombor satu dunia dari Jepun, Kento Momota pada aksi suku akhir Seluruh England, petang ini.

Zii Jia mengesahkan tempat ke suku akhir selepas menewaskan pemain Denmark, Hans-Kristian Vittinghus 21-12, 21-13 pada pusingan kedua awal pagi tadi. Momota pula yang diletakkan selaku pilihan utama di saingan berprestij itu menewaskan pemain India, H S Prannoy 21-15, 21-14.

Untuk rekod, Zii Jia yang kini menduduki ranking ke-10 dunia, tidak pernah menang dalam kesemua enam pertemuan dengan Momota.

Beregu wanita negara, Pearly Tan-M Thinaah yang baru segar daripada kejayaan muncul juara di Terbuka Switzerland meneruskan rentak cemerlang apabila mara ke suku akhir.

Gandingan negara itu menewaskan pasangan England, Jessica Hopton-Jenny Moore 21-18, 21-7 sekali gus bakal membuat perhitungan dengan pilihan kelima dari Jepun, Nami Matsuyama-Chiharu Shida.

Beregu campuran profesional negara, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying juga mengesahkan tempat ke suku akhir selepas menewaskan gandingan Thailand, Nipitphon Phuangphuapet-Benyapa Aimsaard 21-9, 21-8.

Mereka akan bertemu Thom Gicquel-Delphine Delrue dari Perancis untuk merebut tiket ke separuh akhir.

Manakala satu lagi beregu campuran profesional negara, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing menewaskan pasangan England, Steven Stallwood-Annie Lado 21-15, 21-15 untuk membuat perhitungan dengan pilihan kedua dari Jepun, Yuta Watanabe-Arisa Higashino di suku akhir.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Mac 2021 @ 11:02 AM