Pemain badminton Malaysia, Lee Zii Jia ketika beraksi di Sukan Asia Hangzhou. NSTP/ASYRAF HAMZAH
Pemain badminton Malaysia, Lee Zii Jia ketika beraksi di Sukan Asia Hangzhou. NSTP/ASYRAF HAMZAH
Amirul Fazli Zulkafli


Kuala Lumpur: Man Wei Chong-Tee Kai meneruskan rentak cemerlang ke suku akhir selepas menewaskan beregu Jepun, Keiichiro Matsui-Yoshinori Takeuchi 22-20, 20-22, 21-19 di Terbuka Arctic, Finland semalam.

Wei Chong-Kai Mun terpaksa bekerja lebih keras apabila perlu bermain tiga set selama 72 minit sebelum mengesahkan kemenangan.

Beregu Indonesia, Pramudya Kusumawardana-Yeremia Erich Yoche Yacob Rambitan akan menunggu Wei-Kai Mun untuk membuat perhitungan ke separuh akhir.

Kedua-dua beregu belum pernah bertemu sebelum ini dan jika dilihat dari ranking, beregu Indonesia berada di ranking 21 dunia berbanding wakil Malaysia, 23 dunia.

Perlawanan dilihat seimbang dan wakil negara berpeluang untuk lakukan sekali lagi kejutan seperti mereka lakukan di pusingan pertama.

Sementara itu, pemain perseorangan profesional negara, Lee Zii Jia tiada masalah ke suku akhir biarpun terpaksa bermain tiga set sebelum menewaskan wakil Indonesia, Chico Aura Dwi Wardoyo 21-17,18-21,21-11.

Menanti Zii Jia adalah rakan senegara, Leong Jun Hao dan dijangka tidak menghadapi kesukaran untuk ke separuh akhir kerana dua pertemuan sebelum ini memihak kepada pemain berpengalaman itu.

Beregu wanita negara, Pearly Tan-M Thinaah pula terpaksa menarik diri di pusingan kedua selepas Pearly mengalami kecederaan otot.

Beberapa wakil negara seperti Ng Tze Yong, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi dan Cheng Tan Jie-Toh Ee Wei turut akan turun di suku akhir hari ini untuk memburu slot ke separuh akhir Terbuka Arctic, Finland.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Oktober 2023 @ 1:06 PM