AARON bergandingan bersama Soh Wooi Yik tampil sebagai beregu pertama negara. -FOTO Arkib
AARON bergandingan bersama Soh Wooi Yik tampil sebagai beregu pertama negara. -FOTO Arkib
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Wajib menang. Itu yang dapat disimpulkan kapten skuad negara Aaron Chia menjelang pertemuan menentang England dalam saingan Piala Thomas esok.

Aaron yang juga pemain beregu lelaki negara bergandingan bersama Soh Wooi Yik, berkata kemenangan dalam aksi pertama akan memberi momentum positif kepada pasukan bagi mengharungi dua baki perlawanan kumpulan terutamanya berdepan pencabar utama Jepun.

"Perlawanan menentang England sangat penting, sudah pasti kami akan tampilkan prestasi terbaik untuk meraih kemenangan pertama buat negara," katanya.

Mengikut rekod, skuad lelaki negara tampil di kejohanan yang berlangsung di Bangkok, Thailand kali ini dengan misi untuk menamatkan kemarau kejuaraan selama 30 tahun selepas kali terakhir muncul juara pada edisi 1992 di Kuala Lumpur.

Sementara itu, Pengarah Kejurulatihan Beregu Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Rexy Mainaky tidak akan memandang rendah terhadap keupayaan England apabila kemungkinan menurunkan barisan pemain terbaik bagi meraih kemenangan untuk negara.

"Perlawanan pertama sentiasa penting, ia akan menjadi permulaan buat pasukan agar tidak menghadapi tekanan bagi melangkah lebih jauh. Jadi, pemain perlu mempamerkan prestasi terbaik apabila menentang England dan memenangi perlawanan.

"Kami akan mengadakan perbincangan mengenai pemain yang akan diturunkan.

"Kita masih ada sesi latihan hari ini untuk melihat siapa yang lebih bersedia untuk diturunkan," katanya.

Berdasarkan prestasi terkini pemain, kemungkinan jaguh perseorangan lelaki, Lee Zii Jia pasti diturunkan bagi menggalas tugas selaku perseorangan pertama diikuti Liew Daren dan Ng Tze Yong.

Aaron-Wooi Yik pula akan menjadi sandaran sebagai beregu pertama manakala juara Terbuka Jerman, Nur Izzuddin Rumsani-Goh Sze Fei kedua.

Selepas aksi bertemu England, skuad negara akan menentang Amerika Syarikat sehari selepas itu dan mengakhiri aksi peringkat kumpulan berdepan Jepun pada Rabu.

Jadual Piala Thomas Esok

Kumpulan D

Malaysia mln England, 10 pagi

Jepun mln New Zealand, 10 pagi

Piala Uber

Kumpulan C

Malaysia mln Thailand, 3 petang

Denmark mln Mesir, 3 petang

Nota: Semua perlawanan waktu Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 Mei 2022 @ 1:27 PM