AKSI Axelsen (kanan) ketika bertemu Zii Jia di pentas final. FOTO AFP
AKSI Axelsen (kanan) ketika bertemu Zii Jia di pentas final. FOTO AFP
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Naib juara Seluruh England 2021, Viktor Axelsen mengakui bahawa Lee Zii Jia berhak muncul juara selepas kedua-duanya berjaya memberikan aksi melawan yang luar biasa dalam perlawanan akhir di Birmingham, London semalam.

Menurut pemain nombor dua dunia itu, dia tidak dapat menyangkal lagi bahawa Zii Jia layak untuk menjulang trofi berkenaan walaupun rekod pertemuan memihak kepadanya.

"Ia perlawanan akhir yang 'gila'. Sangat sengit dan perlu menggunakan banyak tenaga. Bagaimanapun, Zii Jia bermain dengan baik," katanya yang muncul juara pada edisi tahun lalu.

Ujar pemain berusia 27 tahun itu, tidak ada jalan lain untuknya mempertahankan kejuaraan kecuali dengan memiliki tenaga tambahan namun Zii Jia dilihat lebih layak bermain dalam aksi penuh genting itu.

"Dia bermain dengan baik dalam perlawanan yang sangat sengit ini, manakala saya pula ada sedikit kesilapan. Agak malang juga sepanjang minggu ini saya bermain dalam perlawanan yang berlangsung agak lama.

"Apa pun dia memang layak muncul juara dan saya mahu mengucapkan tahniah kepadanya," kata Axelsen yang kali pertama mengalahkan pemain kelahiran Alor Setar itu di suku akhir Masters Malaysia 2019.

Pada tahun yang sama juga Zii Jia berjaya menumbangkan Axelsen di pusingan kedua Terbuka Korea dan tahun lalu dia kalah di tangan perseorangan lelaki nombor satu Denmark itu di separuh akhir Seluruh England.

Mereka juga pernah bertembung awal tahun ini di Jelajah Dunia Akhir BWF di peringkat kumpulan dengan Axelsen berjaya mencatat kemenangan straight set 21-15, 21-4.

Bagaimanapun semalam, Zii Jia berjaya melakar sejarah apabila muncul juara Seluruh England buat kali pertama selepas mencatat kemenangan 30-29, 20-22, 21-9.

Zii Jia muncul pemain pertama negara memenangi kejohanan berprestij itu selepas kali terakhir dimenangi bekas jaguh perseorangan negara, Datuk Lee Chong Wei pada 2017.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Mac 2021 @ 12:59 PM