LEE Zii Jia bergambar dihadapan Wall Of Champion di Akademi Badminton Malaysia . FOTO Owee Ah Chun
LEE Zii Jia bergambar dihadapan Wall Of Champion di Akademi Badminton Malaysia . FOTO Owee Ah Chun
Ferzalfie Fauzi

Kuala Lumpur: Siapa bijak mengambil peluang dia beruntung, itu yang boleh disimpulkan buat perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia selepas mengaut RM300,000 di atas kejayaan meraih kejuaraan Seluruh England dan mara ke separuh akhir Terbuka Switzerland.

Ketika pemain negara lain tidak mengambil bahagian seperti dari China, Indonesia, Korea Selatan dan Taiwan, Zii Jia menggunakan kesempatan itu untuk mengumpul wang bagi hadiah kemenangan, meraih trofi serta memperbaiki kedudukan ranking dunia.

Walaupun hanya sebulan berkampung di Eropah, pemain berusia 23 tahun itu membawa pulang hadiah RM284,945 menerusi penyertaannya dalam dua kejohanan ditambah pula dengan insentif yang diberikan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), semalam.

Zii Jia yang muncul juara Seluruh England, dua minggu lalu menerima wang tunai AS$59,500 (RM246,538) dan meraih AS$2,030 (RM8,407) apabila mara sehingga separuh akhir Terbuka Switzerland, awal bulan lalu.

BAM pula memberikan insentif kepada pemain nombor lapan dunia itu RM30,000 susulan kejayaannya di Seluruh England apabila dia menamatkan penantian empat tahun Malaysia bagi muncul juara perseorangan lelaki sejak Datuk Lee Chong Wei melakukannya pada 2017.

Zii Jia mengakui puas dengan pencapaian itu selepas mengharungi pelbagai dugaan dalam kerjayanya, namun masih kekal merendah diri dan bertekad meraih lebih banyak kejayaan pada masa akan datang termasuk mahu melonjak ke kelompok lima terbaik dunia.

"Sudah pasti saya bangga dengan kejayaan ini (juara Seluruh England). Ini kejuaraan penuh bermakna buat saya dan rakyat Malaysia.

"Sejak awal, saya mengharungi pelbagai dugaan dan kini saya semakin matang. Saya tahu bagaimana mengawal tekanan dan diharap kejohanan yang saya sertai selepas ini saya kekal berada dalam keadaan selesa (dapat mengawal tekanan)," kata pemain kelahiran Alor Setar itu.

Kerja keras beregu wanita negara, Pearly Tan-M Thinaah selama tiga minggu di bumi Eropah juga memberi pulangan lumayan buat mereka. Kejayaan muncul juara Terbuka Switzerland dan mara sehingga suku akhir Seluruh England, menyaksikan pasangan muda negara itu membawa pulang wang tunai keseluruhan RM67,247.

Selaku juara Terbuka Switzerland yang berstatus Jelajah Dunia BWF Super 300, Pearly-Thinaah meraih AS$11,060 (RM45,428) manakala pencapaian mara ke suku akhir Seluruh England bertaraf Super 1000, mereka membawa pulang AS$5,312 (RM21,819).

Insentif diberikan BAM buat mereka ialah RM15,000, menjadikan keseluruhan wang tunai diraih ialah RM82,247.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 April 2021 @ 7:00 AM