Malaysia's Lee Zii Jia plays a return to Denmark's Viktor Axelson during their All England Open Badminton Championships mens singles semi-final match in Birmingham, central England, on March 14, 2020. (Photo by Oli SCARFF / AFP)
Malaysia's Lee Zii Jia plays a return to Denmark's Viktor Axelson during their All England Open Badminton Championships mens singles semi-final match in Birmingham, central England, on March 14, 2020. (Photo by Oli SCARFF / AFP)
Oleh Ferzalfie Fauzi


“SAYA lihat Zii Jia sudah cuba yang terbaik. Mata terakhir ketika dia dipersalahkan itu, sukar untuk kita jelaskan,” kata ketua jurulatih perseorangan lelaki negara, Hendrawan, mengenai kegagalan Lee Zii Jia melangkah ke pentas akhir Seluruh England buat kali pertama dalam kariernya.

Pemain nombor 13 dunia itu terpaksa akur dengan pengalaman dan kemampuan wakil Denmark, Viktor Axelsen walaupun bermula dengan cemerlang di set pertama aksi separuh akhir itu, semalam.

Beberapa kesilapan di saat genting menyaksikan pemain kelahiran Alor Setar, Kedah itu meninggalkan Arena Birmingham dengan kekalahan 17-21, 21-13, 21-19.

Kekalahan itu menyaksikan Zii Jia ketinggalan 1-2 dari segi rekod pertemuan dengan pemain ranking ketujuh dunia itu.

“Apa yang penting dia tetap berfikiran positif. Ada peningkatan dan kita akan mempersiapkan dia lagi untuk menjadi lebih baik pada masa akan datang,” kata Hendrawan.

Beliau mengakui perjalanan Zii Jia masih panjang dan setakat ini berada di landasan tepat.

“Saya harap kami dapat membantunya menjadi antara pemain terbaik dunia,” katanya.

Mara ke separuh akhir Seluruh England mengulangi pencapaian Zii Jia awal musim ini ketika di Masters Malaysia sebelum dia disingkirkan Kento Momota di Arena Axiata.

Pemain ranking ke-13 dunia itu sepatutnya beraksi di Terbuka Jerman terlebih dulu, namun kejohanan berkenaan terpaksa dibatalkan akibat penularan wabak Convid-19.

Dia juga dijadual berdepan Jonatan Christie dari Indonesia di pusingan pertama Terbuka Malaysia hujung bulan ini, namun kejohanan bertaraf World Tour Super 750 itu juga terpaksa ditangguh akibat wabak berkenaan.

Tahun lalu Malaysia mempunyai wakil di perlawanan akhir, apabila beregu lelaki, Aaron Chia-Soh Wooi Yik melakar kejutan sebelum tumpas kepada Hendra Setiawan-Mohammad Ahsan.

Kali terakhir perseorangan lelaki negara mara ke perlawanan akhir dan muncul juara ialah melalui Datuk Lee Chong Wei pada 2017.

Chong Wei yang sebelum itu sudah meraih tiga kejuaraan Seluruh England pada 2010, 2011 dan 2014 berjaya mengalahkan Shi Yuqi 21-12, 21-10.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 Mac 2020 @ 6:10 AM