ZII Jia tewaskan Anthony buat kali pertama. -FOTO EPA
ZII Jia tewaskan Anthony buat kali pertama. -FOTO EPA
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Pemain perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia sekali lagi mengulangi kenyataan bahawa dia bukanlah Datuk Lee Chong Wei dan menegaskan mahu mencipta legasinya yang tersendiri.

Menurut juara Seluruh England 2021 itu, perkara berkenaan sentiasa menjadi motivasi buat dirinya setiap kali beraksi di kejohanan utama sekali gus membuktikan yang dia mampu berdiri di atas kakinya sendiri.

"Saya fikir di Malaysia semua orang cuba bandingkan saya dengan Chong Wei. Bagi saya, saya mahu cuba untuk buktikan yang saya bukan Lee Chong Wei tetapi Lee Zii Jia," katanya selepas perlawanan suku akhir Piala Sudirman awal pagi tadi.

Pemain kelahiran Kedah itu mengakui mempunyai perjalanan dan kisah yang tersendiri serta mahu melakukan yang terbaik untuk mencipta episodnya tersendiri,"

Zii Jia, 23, menyumbangkan mata kedua buat skuad negara yang mengalahkan Indonesia 3-2 menerusi kemenangan ke atas pemain ranking nombor lima dunia, Anthony Sinisuka Ginting 21-11, 21-16.

Berdasarkan rekod perlawanan ia adalah kemenangan pertama Zii Jia ke atas Ginting selepas tewas dalam tiga pertemuan sebelum ini.

"Saya gembira dapat menang dalam perlawanan ini. Ia penting untuk meningkatkan semula keyakinan saya terutama selepas dua bulan tidak beraksi dalam kejohanan yang mana saya tidak dapat menilai tahap prestasi saya.

"Selepas kekalahan semalam (tewas di tangan pemain Jepun, Kento Momota dalam saingan kumpulan) ia juga membuatkan saya sedikit hilang keyakinan. Jadi, saya gembira dapat membina semula keyakinan saya.

"Bukan mudah untuk kekal berada pada tahap prestasi terbaik setiap hari. Hari ini, saya fikir Ginting tidak beraksi dengan baik, banyak buat kesilapan.

"Set kedua dia cuba untuk mendapat keyakinan semula tetapi saya cuba untuk tidak mengulangi kesilapan semalam yang mana saya hilang fokus. Saya gembira dapat mengatasi masalah ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Oktober 2021 @ 12:23 PM