ZII Jia menjulang trofi Seluruh England. FOTO FB Yonex All England
ZII Jia menjulang trofi Seluruh England. FOTO FB Yonex All England
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: "Kemenangan yang sangat bermakna buat saya kerana Seluruh England adalah salah satu kejohanan besar bagi sukan badminton."

Itu yang diluahkan juara baru Seluruh England, Lee Zii Jia selepas berjaya menumpaskan wakil Denmark, Viktor Axelsen dalam aksi final penuh dramatik semalam di Birmingham, London.

Zii Jia ternyata sangat gembira kerana bukan saja dapat merangkul kejuaraan berkenaan malah berjaya menundukkan juara bertahan yang juga pemain ranking nombor dua dunia.

"Terima kasih kepada barisan jurulatih, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria dan Persatuan Badminton Malaysia. Terima kasih juga kepada penyokong Malaysia yang tunggu untuk melihat aksi saya setiap hari di televisyen. Terima kasih di atas sokongan anda, jumpa nanti apabila saya pulang ke Malaysia," kata Zii Jia.

Menurut pemain ranking ke-10 dunia itu, dia berasa sangat gembira berjaya merangkul trofi Seluruh England kerana ia adalah kejohanan besar yang menjadi idaman buat semua pemain badminton.

"Saya rasa ini adalah salah satu kejuaraan yang bermakna buat saya," katanya yang mencatat kemenangan 30-29, 20-22, 21-9.

Dalam pada itu dia juga mengakui bahawa set pertama memang sangat sengit selepas masing-masing tidak mahu mengalah dan saling mengejar antara satu sama lain.

"Bermula set pertama kami mengutip mata demi mata. Tidak Kira Axelsen mahupun saya, masing-masing fokus tidak mahu kalah. Mungkin di akhir saingan saya sedikit bernasib baik.

"Ia mata yang sangat penting memang kita tidak bolah cakap apa. Saya rasa bernasib baik dapat memenangi set pertama.

"Saya juga ingin memohon maaf kepada mereka yang cuba menghubungi saya selepas tamat perlawanan. Saya tidak boleh untuk melayan anda semua kerana perlu memberi tumpuan kepada pemulihan kecergasan yang harus dilakukan betul-betul," katanya.

Kejayaan itu pasti cukup manis untuk Zii Jia kerana dapat membalas dendam selepas dikecewakan Axelsen pada aksi separuh akhir di pentas sama tahun lalu.

Zii Jia muncul pemain pertama negara memenangi kejohanan berprestij itu selepas kali terakhir dimenangi bekas jaguh perseorangan negara, Datuk Lee Chong Wei pada 2017.

Ia juga adalah kemenangan kedua Zii Jia ke atas Axelsen sepanjang lima pertemuan antara mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Mac 2021 @ 11:45 AM