Pemain perseorangan lelaki Malaysia, Lee Zii Jia. FOTO File NSTP
Pemain perseorangan lelaki Malaysia, Lee Zii Jia. FOTO File NSTP
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Perseorangan lelaki nombor satu negara, Lee Zii Jia mengambil keputusan untuk menarik diri ketika ketinggalan 9-11 di set pertama pusingan pertama Masters Indonesia.

Keputusan berkenaan memberi laluan buat lawannya Rasmus Gemke dari Denmark untuk memperoleh kemenangan percuma dan mara ke pusingan kedua.

Keputusan itu dikatakan mempunyai kaitan dengan kecederaan belakang yang dialaminya ketika final Terbuka Hylo di Jerman bertemu pemain Singapura, Loh Kean Yew pada 8 November lalu.

Sebelum ini, penyertaan Zii Jia yang juga juara Seluruh England 2021 di Masters Indonesia mencetuskan tanda-tanya susulan kecederaan yang dialaminya itu tetapi memutuskan untuk tetap beraksi di Bali selepas dilapor sudah pulih.

Sementara itu, beregu lelaki profesional, Goh V Shem-Low Juan Shen turut tersingkir di pusingan pertama selepas tewas di tangan pasangan Perancis, Lucas Corvee-Ronan Labar 18-21-18-21.

Bagaimanapun, satu lagi pasangan beregu lelaki profesional negara, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi berjaya melakar kejutan selepas menumpaskan pilihan keenam dari India, Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty.

Mereka mengambil masa 40 minit untuk mencatat kemenangan straight set 21-17, 21-15 dan akan bertemu dengan pemenang di antara satu lagi pasangan profesional, Tan Kian Meng-Tan Wee Kiong atau wakil dari Indonesia, Sabar Karyaman Gutama-Moh Reza Pahlevi Isfahani.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 November 2021 @ 7:24 PM