LEE Chong Wei. FOTO Agensi
LEE Chong Wei. FOTO Agensi
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Bekas jaguh perseorangan lelaki negara, Datuk Lee Chong Wei dinasihatkan untuk melaporkan cubaan merasuah membabitkan dirinya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abdul Karim dalam satu kenyataan berkata, masalah rasuah dalam bidang sukan bukanlah baharu di Malaysia.

"Ia sudah menular sejak sekian lama dan jika dibiarkan berlarutan boleh merosakkan masyarakat dan meruntuhkan negara. Industri sukan negara boleh terencat sekiranya masalah itu tidak dibanteras sepenuhnya.

"Rasuah dalam sukan bukan hanya berkaitan dengan perolehan dana persatuan dan menggunakan jawatan untuk mendapat suapan, malah mengatur keputusan perlawanan, penyalahgunaan kuasa serta proses dalam membuat sesuatu keputusan juga ditakrifkan sebagai rasuah.

"SPRM mendefinisikan suapan terdiri daripada wang, hadiah, bonus, undi, perkhidmatan, jawatan, upah mahupun pemberian diskaun," katanya.

Jelas Jais lagi, MCW berpendapat isu rasuah dalam sukan di Malaysia masih berada pada tahap terkawal.

"Tindakan segera pihak Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dalam mengambil langkah pembudayaan, pencegahan dan penguatkuasaan dari masa ke semasa adalah penting untuk memastikan ia tidak menjadi 'barah' kepada pembangunan sukan negara.

"Pastikan semua badan sukan kebangsaan bebas daripada budaya tidak sihat itu dan sebarkan semangat bebas rasuah kepada semua ahli sukan.

"Trend gejala rasuah dalam sukan di Malaysia biasanya melibatkan aktiviti mengatur perlawanan yang melibatkan kejohanan ternama, hadiah besar dan pertaruhan sama ada secara sah atau pun tidak," katanya.

Isu itu timbul selepas bekas jaguh Indonesia, Taufik Hidayat menerusi satu temuramah mendedahkan bahawa dia pernah didekati oleh seorang pegawai dari Malaysia untuk tewas pada perlawanan separuh akhir bertemu Chong Wei di Sukan Asia Doha 2006.

Taufik yang juga pemenang pingat emas Sukan Olimpik 2004, bagaimanapun tidak melayan tawaran itu, sebaliknya melakar kemenangan ke atas Chong Wei di separuh akhir dan kemudian memenangi kejohanan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Ogos 2021 @ 3:54 PM