CHONG Wei dan Taufik ketika zaman kemuncak mereka.
CHONG Wei dan Taufik ketika zaman kemuncak mereka.
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Bekas jaguh perseorangan negara, Datuk Lee Chong Wei berkata sekiranya dia berada dalam lingkungan usia 20-an ketika ini, tidak mustahil untuknya meraih kejayaan lebih baik berbanding ketika zaman kegemilangannya satu ketika dahulu.

"Kalau ada perkara yang boleh diubah, saya nak ubah umur saya kepada 22 tahun sekarang. Saya rasa lebih banyak peluang (menang kejohanan)," katanya ketika siarang langsung di aplikasi tiktok bersama legenda Indonesia, Taufik Hidayat.

Pandangan Chong Wei itu turut dipersetujui oleh Taufik yang turut mengakui dirinya juga mungkin berpeluang meraih kejayaan lebih baik sekiranya berada di usia muda ketika ini.

"Saya percaya dengan Chong Wei. Kalau kamu beraksi sekarang, peluang kamu lebih banyak. Bukannya ada rasa sombong, tapi jika kami berdua berada dalam lingkungan usia 22 hingga 23 tahun sekarang, mungkin kami boleh menang (kejohanan) lagi.

"Apapun saya dan Chong Wei harus bersyukur. Tidak semua yang kami idamkan akan diraih, pasti akan ada impian yang tak dapat dipenuhi," katanya.

Kedua-dua legenda itu saling berentap di atas gelanggang satu ketika dahulu bersama-sama dengan jaguh Denmark, Pete Gade dan legenda China, Lin Dan.

Sementara itu, ditanya apakah bakat sukan yang ada pada mereka selain badminton, Taufik berkata, dia sememangnya mengemari bola sepak.

"Saya bermain bola dahulu tetapi bapa saya kemudian minta saya bermain badminton kerana katanya peluang lebih baik dalam sukan ini," katanya.

Chong Wei pula berkata: "Saya main sukan bola keranjang sehingga mewakili negeri. Seperti Taufik, bapa saya suka sukan badminton dan minta saya bermain badminton."

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Jun 2022 @ 10:53 PM