CHONG Wei menengaskan  tidak pernah terjebak dengan rasuah sepanjang kariernya.
CHONG Wei menengaskan tidak pernah terjebak dengan rasuah sepanjang kariernya.
Saiful Affendy Sapran

Kuala Lumpur: Datuk Lee Chong Wei mahu menutup buku dan enggan mengambil sebarang tindakan membabitkan isu mengatur perlawanan pada aksi separuh akhir Sukan Asia Doha 2006 antaranya dengan jaguh Indonesia, Taufik Hidayat.

Jelas Chong Wei, perkara itu sudah lama berlalu malah beliau sendiri tidak mengetahuinya sehinggalah Taufik mendedahkan perkara itu baru-baru ini.

"Masa itu saya memang tak tahu langsung. Saya sendiri hubungi Taufik untuk dapatkan penjelasan dan dia beritahu memang ada orang cari dia ketika itu.

"Bagi saya benda sudah lepas. Taufik sendiri beritahu dia ceritakan perkara itu kerana mahu memberi kesedaran kepada barisan atlet muda agar jangan mengambil rasuah. Bagi saya ia sesuatu yang bagus dan apa yang diceritakannya adalah perkara biasa saja," katanya.

Jelas Chong Wei, sepanjang kariernya, dia hanya beraksi demi negara dan tidak pernah sama sekali meletakkan dirinya dalam perbuatan jijik termasuk mengatur perlawanan.

"Taufik pun seorang pemain yang baik dan kawan rapat saya. Bagi saya perkara ini sudah selesai," katanya.

Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abdul Karim dalam satu kenyataan semalam menasihatkan Chong Wei untuk melaporkan cubaan merasuah membabitkan perlawanan itu kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Isu itu timbul selepas Taufik menerusi satu temuramah mendedahkan bahawa dia pernah didekati oleh seorang pegawai dari Malaysia untuk tewas pada perlawanan separuh akhir bertemu Chong Wei di Sukan Asia Doha 2006.

Taufik yang juga pemenang pingat emas Sukan Olimpik 2004, bagaimanapun tidak melayan tawaran itu, sebaliknya melakar kemenangan ke atas Chong Wei di separuh akhir dan kemudian memenangi kejohanan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Ogos 2021 @ 7:25 AM