REAKSI Lee Zii Jia selepas tewas di pusingan kedua Terbuka Malaysia. FOTO ASYRAF HAMZAH
REAKSI Lee Zii Jia selepas tewas di pusingan kedua Terbuka Malaysia. FOTO ASYRAF HAMZAH
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Hasrat peminat badminton untuk melihat Lee Zii Jia beraksi di Masters Malaysia tidak kesampaian apabila pemain perseorangan lelaki negara itu tidak berada dalam senarai undian yang dikeluarkan petang tadi.

Perkara itu disahkan wakil Persatuan Badminton Malaysia (BAM) bahawa tiada kelibat perseorangan lelaki negara itu bagi saingan yang akan membuka tirai esok.

"Zii Jia tidak akan bermain, begitu juga dengan Axelsen (Viktor), tapi Momota (Kento) akan turun beraksi," kata wakil BAM berkenaan ketika dihubungi Arena Metro, sebentar tadi.

Zii Jia antara pemain negara yang menjadi fenomena di media sosial dan mampu menarik ribuan penonton ke Terbuka Malaysia, minggu lalu.

Ketiadaan Zii Jia dan Axelsen yang muncul juara Terbuka Malaysia, semalam jelas menyebabkan kejohanan yang bernilai RM1.58 juta itu hilang seri.

VIKTOR Axelsen muncul juara Terbuka Malaysia selepas menewaskan lelaki Jepun,  Kento Momota, semalam. FOTO ASWADI ALIAS.
VIKTOR Axelsen muncul juara Terbuka Malaysia selepas menewaskan lelaki Jepun, Kento Momota, semalam. FOTO ASWADI ALIAS.

Axelsen yang mengesahkan penarikan dirinya menerusi akuan Instagram (IG) berkata, keputusan itu dibuat bagi membolehkan badannya memperoleh rehat mencukupi.

Katanya, dia sebenarnya amat menantikan penyertaan di Masters Malaysia dan Terbuka Singapura, namun keadaan fizikal seperti perlu berehat selepas beraksi secara berturut-turut sebelum ini.

"Pertama sekali, saya ingin mengucapkan terima kasih atas sokongan diberikan di sepanjang minggu yang penuh sibuk ini. Saya sudah tentu sangat gembira dengan keputusan dalam tiga kejohanan sebelum ini.

"Sesuatu yang menarik dapat beraksi di Indonesia dan Malaysia di hadapan penyokong yang menakjubkan. Terima kasih kepada pasukan saya, keluarga dan rakan atas sokongan berterusan.

"Saya sangat ingin untuk beraksi semula di Kuala Lumpur minggu ini dan kemudian di Singapura, namun apabila saya bangkit daripada tidur pagi ini, badan dan kepala saya seakan memberitahu ini adalah masa untuk berehat dan mengembalikan tenaga sebelum kembali turun beraksi di gelanggang.

"Saya memerlukan beberapa hari untuk berehat, meraikan kemenangan saya bersama keluarga dan kemudian membina semula sasaran yang baharu," kata Axelsen di IGnya.

Semalam, pemain dari Denmark itu menewaskan pemain nombor dua dunia dari Jepun, Kento Momota 21-4, 21-7 dalam tempoh 34 minit, sekali gus muncul selaku pemain kedua Eropah menjuarai Terbuka Malaysia selepas Pete Gade pada 2007.

Zii Jia pula terkandas di pusingan kedua di tangan pemain Indonesia, Shesar Hiren Rhustavito 19-21, 21-19, 16-21 dalam tempoh satu jam enam minit.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Julai 2022 @ 8:09 PM