NORZA mengucapkan tahniah atas kejayaan Zii Jia. FOTO Bernama
NORZA mengucapkan tahniah atas kejayaan Zii Jia. FOTO Bernama
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berharap juara baru Seluruh England, Lee Zii Jia agar sentiasa merendah diri walaupun sudah berjaya merangkul salah satu kejuaraan berprestij.

Menurut beliau, mereka berasa gembira dan bangga dengan kejayaan yang berhak dirangkul Zii Jia selepas menumpaskan juara bertahan Viktor Axelsen dalam perlawanan akhir di Birmingham, London semalam.

"Kejayaan ini sudah pasti menggembirakan seluruh rakyat Malaysia. Nasihat saya kepadanya adalah sentiasa kekal merendah diri. Ini adalah sebuah maraton, bukannya pecutan," kata Norza yang juga Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM).

Zii Jia melakar sejarah apabila muncul juara Seluruh England selepas menewaskan juara bertahan, Viktor Axelsen 30-29, 20-22, 21-9.

Kejayaan itu pasti cukup manis untuk Zii Jia kerana dapat membalas dendam selepas dikecewakan Axelsen pada aksi separuh akhir di pentas sama tahun lalu.

Zii Jia muncul pemain pertama negara memenangi kejohanan berprestij itu selepas kali terakhir dimenangi bekas jaguh perseorangan negara, Datuk Lee Chong Wei pada 2017.

Ia juga adalah kemenangan kedua Zii Jia ke atas Axelsen sepanjang lima pertemuan antara mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Mac 2021 @ 3:21 PM