Bangunan Akademi Badminton Malaysia, Bukit Kiara. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
Bangunan Akademi Badminton Malaysia, Bukit Kiara. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Persediaan kem badminton negara bagi ke kejohanan akan datang sedikit terganggu apabila pemain perlu menjalani kuarantin sehingga Sabtu ini.

Malah, semua aktiviti membabitkan pemain dan barisan jurulatih tidak dibenarkan sehinggalah semua individu di kem badminton disahkan negatif daripada pandemik berkenaan.

Setiausaha Agung Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Kenny Goh berkata, kebimbangan ketika ini adalah lebih ramai pemain badminton kemungkinan positif Covid-19 berdasarkan pergaulan antara mereka.

Beliau berkata, perkara terbabit menjadi kebimbangan ketika ini sekali gus memastikan mereka mematuhi segala prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan termasuklah menjalani proses kuarantin lebih ketat.

"Saya tidak boleh katakan tiada lagi pemain disahkan positif Covid-19 kerana berdasarkan kontak rapat ada beberapa pemain yang positif bergaul rapat dengan lain.

"Apa yang boleh kita buat ketika ini adalah tunggu sehingga ujian calitan kedua iaitu pada 24 April ini sekali gus mengetahui sama ada pertambahan kes atau sebaliknya.

"Jadinya, kes positif berkenaan menyaksikan jadual latihan pemain badminton sedikit terganggu dan hanya berlatih bersendirian saja ketika ini," katanya, ketika dihubungi Arena Metro.

Sebelum itu, kem badminton negara dikejutkan dengan enam pemain mereka disahkan positif Covid-19 selepas melakukan ujian.

Menurut badan induk sukan berkenaan melalui satu kenyataan kesemua pemain berkenaan tidak menunjukkan sebarang simptom dan sekarang ini sedang menjalani kuarantin serta pemantauan. Berikutan itu, kesemua 91 pemain, jurulatih dan pegawai yang berpangkalan di Akademi Badminton Malaysia (ABM) Bukit Kiara terus melakukan ujian Covid-19 dengan kadar segera.

Hasil daripada ujian berkenaan kesemua 91 individu berkenaan memperoleh keputusan negatif dan dalam masa sama ABM juga sudah melakukan proses sanitasi.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 April 2021 @ 3:09 PM