SZE Fei dan Izzudin akan menentang beregu Denmark untuk memburu  tempat ke suku akhir.
SZE Fei dan Izzudin akan menentang beregu Denmark untuk memburu tempat ke suku akhir.
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Berjaya mengawal gemuruh selepas 10 bulan tidak beraksi di kejohanan antarabangsa membantu beregu lelaki negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani mengalahkan pasangan berpengalaman Korea Selatan, Ko Sung Hyun-Shin Baek Cheol untuk mara ke pusingan kedua Yonex Terbuka Thailand.

Sze Fei-Nur Izzuddin mengambil masa satu jam untuk mencatat kemenangan 21-16, 19-21, 21-11 di perlawanan pusingan pertama yang berlangsung di Bangkok hari ini.

Menurut Sze Fei, pada awalnya mereka agak gementar kerana ini perlawanan pertama selepas 10 bulan tetapi masih boleh mengawal keadaan.

"Lawan juga memberikan tentangan sengit. Namun, kami cuba tidak tergopoh-gopoh dan tidak bagi mereka melakukan serangan," katanya selepas tamat perlawanan.

Pasangan berkenaan yang kini menghuni ranking ke-28 dunia akan bertemu wakil Denmark, Mathias Christiansen-Niclas Nohr bagi perebutan tempat ke suku akhir, Khamis ini.

"Biarpun kami menang perlawanan pertama namun masih ada beberapa perkara perlu diperbaiki untuk terus melangkah jauh dalam kejohanan kali kini.

"Sebelum bermain kami berbincang dengan jurulatih dan kami bernasib baik kerana strategi kami menjadi. Ada lagi perkara perlu perbaiki dan kami perlu kekal fokus untuk perlawanan seterusnya," katanya.

Bagaimanapun, nasib ternyata berbeza buat satu lagi pasangan beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik apabila kalah kepada wakil profesional yang juga dari Malaysia, Goh V Shem-Tan Wee Kiong.

Aaron-Wooi Yik yang juga pilihan kelapan kalah straight set 7-21, 19-21.

Dalam pada itu, tuah terus menyebelahi perseorangan wanita negara, S Kisona apabila dia turut melangkah ke pusingan kedua.

Pemenang pingat emas Sukan Sea 2019 itu yang layak beraksi dalam kejohanan kali ini pada saat akhir berikutan penarikan diri beberapa pemain negara lain tidak perlu bekerja keras apabila lawannya yang juga bekas pemain nombor satu dunia, Saina Nehwal dari India terpaksa menarik diri.

Saina dilaporkan positif Covid-19 selepas menerima keputusan ujian ketiga, hari ini. Kisona akan bertemu pemain Thailand, Busanan Ongbamrungphan untuk aksi pusingan kedua, esok. Sementara itu, beregu campuran negara, Hoo Pang Ron-Cheah Yee See terkandas di pusingan pertama selepas tewas di tangan pilihan utama dari Thailand, Dechapol Puavaranukroh-Sapsiree Taerattanachai 21-18, 16-21, 15-21.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 January 2021 @ 6:27 PM