REAKSI Messi selepas menjaringkan gol untuk Argentina. FOTO AFP
REAKSI Messi selepas menjaringkan gol untuk Argentina. FOTO AFP
AFP

Buenos Aires: Lionel Messi melupakan seketika masalah bersama Barcelona apabila menyumbang gol untuk membantu Argentina mencatat kemenangan 1-0 ke atas Ecuador pada kempen kelayakan Piala Dunia, hari ini.

Pemain berusia 33 tahun itu nyata tidak terganggu prestasinya apabila menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-13.

Pemenang anugerah Ballon d'Or sebanyak enam kali itu sebelum ini mahu meninggalkan Barcelona namun dihalang oleh kelab dan kini dilihat lebih ceria ketika menyarung jersi Argentina.

Skuad kebangsaan nyata memerlukan khidmat Messi untuk mengelak tewas sekali lagi di tangan Ecuador yang menewaskan mereka 2-0 pada kempen kelayakan Piala Dunia empat tahun lalu.

Beraksi di Stadium Buenos Aires, Argentina selaku tuan rumah jelas menominasi perlawanan namun gagal untuk mencipta jaringan.

Gol tunggal itu hadir selepas Pervis Estupinan mengasari Lucas Ocampos dalam kotak penalti dan Messi kemudian tenang menyempurnakan sepakan penalti untuk gol antarabangsa peribadi ke-71.

Ocampos berpeluang menambah gol kedua di awal babak kedua tetapi penjaga gol, Alexander Dominguez berjaya menafikannya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Oktober 2020 @ 11:50 AM