Bintang Argentina, Lionel Messi (kiri) cuba menghalang pemain Paraguay pada aksi kelayakan Piala Dunia di Buenos Aires. FOTO AFP
Bintang Argentina, Lionel Messi (kiri) cuba menghalang pemain Paraguay pada aksi kelayakan Piala Dunia di Buenos Aires. FOTO AFP
AFP

Buenos Aires: Argentina bangkit daripada ketinggalan untuk mengikat kedudukan seri 1-1 menentang Paraguay pada kelayakan Piala Dunia dekat La Bombonera, ketika gol kemenangan Lionel Messi dibatalkan pada babak kedua.

Gol Nicolas Gonzalez memberikan Argentina jaringan penyamaan selepas penalti Angel Romero meletakkan Paraguay di depan dalam perlawanan berlangsung dekat stadium Boca Juniors tanpa kehadiran penonton kerana pandemik Covid-19.

Keputusan itu menamatkan permulaan sempurna Argentina dalam usaha layak ke pusingan akhir di Qatar 2022 selepas skuad bimbingan Lionel Scaloni mencipta kemenangan tipis bulan lalu di laman sendiri berdepan Ecuador dan di Bolivia.

Mereka merasakan sudah berada di depan pada minit ke-58 apabila Giovani Lo Celso mengumpan untuk kapten, Messi yang menyepak leret ke gawang namun gol berkenaan dibatalkan kerana pegawai perlawanan daripada Brazil mendapati Gonzalez melakukan kekasaran pada awal pergerakan.

Sekurang-kurangnya Argentina bangkit daripada ketinggalan pada pertengahan babak pertama selepas pemain yang beraksi di Argentina bersama San Lorenzo, Romero menyempurnakan penalti selepas Lucas Martinez Quarta melakukan kekasaran terhadap pemain Newcastle United, Miguel Almiron.

Tuan rumah kehilangan pemain tengah, Exequiel Palacios kerana kecederaan selepas itu tetapi pemain gantian, Lo Celso menghantar bola menerusi sepakan sudut buat penyerang VfB Stuttgart, Gonzalez yang menanduk gol penyamaan sebelum tamat babak pertama.

Selepas jaringannya yang tidak dibenarkan, Messi yang kecewa turut memperoleh peluang keemasan menerusi sepakan percuma yang berjaya di nafikan penjaga gol Paraguay, Anthony Silva.

Paraguay kekal dengan rekod tanpa kalah selepas seri menentang Peru dan mencatat kemenangan di Venezuela.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 November 2020 @ 11:54 AM