MESSI (kiri) mengawal bola melepasi kawalan pemain tengah Ecuador, Gonzalo Plata (tengah). -FOTO AFP
MESSI (kiri) mengawal bola melepasi kawalan pemain tengah Ecuador, Gonzalo Plata (tengah). -FOTO AFP
AFP

Montevideo, Uruguay: Sepakan percuma melencong yang menjadi 'trademark' Lionel Messi membawa juara dunia Argentina melakar kemenangan 1-0 ke atas Ecuador dalam kempen kelayakan Piala Dunia zon Amerika Selatan.

Messi, yang mengetuai Argentina menjuarai Piala Dunia ketiga mereka di Qatar pada Disember, masih belum mengesahkan sama ada dia akan terus bersama pasukan kebangsaannya sehingga 2026, tetapi dia menunjukkan sekali lagi betapa pentingnya kehadirannya dengan kejayaan Argentina.

Lautaro Martinez dihadiahkan sepakan percuma di kawasan tengah pada minit ke-78, tepat di luar kawasan penalti Ecuador dan Messi menyempurnakan dengan sempurna untuk menewaskan Hernan Galindez yang gagal untuk menghalang.

Dengan jaringan itu, Messi menyamakan kedudukan dengan bekas rakan sepasukan Barcelona, Luis Suarez dari Uruguay sebagai penjaring terbanyak sepanjang masa dalam aksi kelayakan Amerika Selatan, kedua-duanya dengan 29 gol.

Dalam aksi perlawanan lain, Colombia menewaskan Venezuela 1-0 manakala Peru yang beraksi 10 pemain berjaya bertahan untuk mengikat kedudukan 0-0 di Paraguay ketika aksi kelayakan Amerika Selatan untuk Piala Dunia 2026 bermula.

Tandukan Rafael Santos Borre pada minit ke-46, susulan hantaran silang Jhon Arias sudah cukup untuk memastikan tiga mata buat Colombia di Barranquilla.

Kemenangan itu bermakna permulaan cemerlang buat jurulatih baharu Colombia, Nestor Lorenzo, warga Argentina yang mengendalikan perlawanan kompetitif pertamanya.

Colombia gagal layak ke pusingan akhir Piala Dunia di Qatar tahun lalu manakala Venezuela berharap dapat menempah tiket kali pertama ke pusingan akhir.

Tugas Peru menjadi agak sukar di Ciudad del Este apabila pemain pertahanan mereka Luis Advincula dibuang padang pada masa kecederaan babak pertama selepas dilayangkan kad kuning kedua.

Perlawanan pusingan pertama kelayakan CONMEBOL diteruskan pagi esok apabila Uruguay berdepan Chile di laman sendiri sebelum juara dunia lima kali Brazil menentang Bolivia.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 September 2023 @ 11:25 AM