REMBATAN Pique terjah gawang lawan.
REMBATAN Pique terjah gawang lawan.
AFP

Madrid: Barcelona menduduki tangga teratas La Liga buat pertama kali sejak awal November sambil Lionel Messi meledak hatrik ke-32 buat kelab Catalan itu ketika mereka membelasah Rayo Vallecano 6-1 malam tadi.

Kekalahan 0-1 Real Madrid di Athletic Bilbao kelmarin membolehkan Barca memintas juara Eropah itu dan Luis Suarez hanya memerlukan enam minit pada babak pertama untuk menjaringkan gol keenamnya di La Liga.

Gerard Pique menggandakan kelebihan tuan rumah selepas babak kedua bermula sebelum Messi menambah gol ketiga menerusi penalti sambil Tito dilayangkan kad merah kerana kad kuning kedua.

Bintang Argentina itu menambah dua lagi gol sekali gus berada sebaris dengan Cristiano Ronaldo pada angka 30 jaringan peringkat liga musim ini.

Kedua-dua pasukan menamatkan permainan dengan 10 pemain apabila Dani Alves dilayangkan kad merah kerana menjatuhkan Alberto Bueno di dalam kotak penalti dan Bueno menyempurnakan peluang berkenaan yang menjadi satu-satunya gol buat Rayo Vallecano pada perlawanan itu.

Barca enggan berpuas hati sebaliknya Suarez menghasilkan gol kedua peribadinya hasil hantaran Messi pada lewat permainan.

Suarez dilihat sudah mula menemui sentuhan jaringannya sejak kebelakangan ini apabila aksi awalnya di Camp Nou tidak begitu menjadi.

Rayo bermain baik pada babak pertama tetapi gandingan Messi serta Suarez kerap kali mengkucar-kacirkan pertahanan pelawat.

Anak buah Luis Enrique itu tidak mengambil masa lama selepas rehat melancarkan serangan bertubi-tubi ke arah gawang pelawat.

Hasrat Rayo untuk mengejutkan Barca tidak menjadi sebaliknya mereka menerima padah apabila Suarez dijatuhkan Tito di dalam kotak penalti dan pertahanan itu pantas dilayangkan kad kuning.

Penalti yang diambil Messi berjaya diselamatkan penjaga gol Rayo Alvarez namun mereka bernasib baik apabila pengadil Jesus Gil Manzano mengarahkan sepakan itu diambil sekali lagi kerana ada pemain Rayo yang memasuki kotak sebelum Messi menyepak bola.

Cubaan kedua pemain terbaik dunia sebanyak empat kali itu tidak disia-siakan dan Messi melengkapkan hatrik 12 minit kemudian apabila mudah memperdayakan Alvarez.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Mac 2015 @ 6:02 AM