MESSI (tengah) meraikan gol yang dijaringkan pada masa kecederaan bersama rakan sepasukan. FOTO EPA
MESSI (tengah) meraikan gol yang dijaringkan pada masa kecederaan bersama rakan sepasukan. FOTO EPA
AFP

Goiania: Lionel Messi meledak satu gol dan merencanakan dua lagi jaringan Argentina untuk menumpaskan Ecuador 3-0 di Goiania sekali gus layak ke separuh akhir Copa America 2021.

Messi terbabit dalam jaringan yang disempurnakan Rodrigo De Paul dan Lautaro Martinez sebelum meledak gol ketiga Argentina pada masa kecederaan.

Keputusan berkenaan ternyata mengecewakan Ecuador yang beraksi dengan 10 pemain selepas Pedro Hicapie dibuang padang namun mereka harus dipuji kerana berjaya memberi tentangan.

Argentina bermula dengan bergaya apabila Martinez hampir membuka jaringan melalui satu gerakan menarik.

Dia berjaya melambungkan bola melepasi penjaga gol, Hernan Galindez dan melakukan sepakan voli, namun percubaannya berjaya dihalang Robert Arboldea.

Carlos Gruezo juga berjaya merencanakan serangan yang hampir menghasilkan jaringan, hantarannya menemui Messi namun pemenang Ballon d'Or itu gagal melakukan rembatan tepat walaupun hanya berdepan Galindez.

Penjaga gol Argentina, Emiliano Martinez juga bertindak cemerlang selepas berjaya menyelamatkan rembatan voli Sebastian Mendez.

Pada minit ke-40 Argentina akhirnya berjaya memecahkan kebuntuan dengan Messi bertindak sebagai arkitek.

Messi berjaya melakukan hantaran kepada De Paul yang tidak dikawal di dalam petak penalti.

Penyerang Inter Milan, Martinez membunuh sisa harapan Ecuador untuk bangkit ketika permainan berbaki enam minit apabila Messi melakukan hantaran pendek sebelum ia disempurnakan dengan tenang oleh Martinez.

Hincapie diperintah keluar pada masa kecederaan selepas menarik Angel Di Maria berhampiran kotak penalti dan Messi yang mengambil sepakan percuma itu mudah menyempurnakan tugasnya.

"Sejujurnya ia adalah perlawanan yang sukar. Kami sedar akan berdepan kesukaran jika bertemu Ecuador.

"Mereka sentiasa bekerja keras, pantas, mempunyai fizikal yang kuat dan mempunyai pemain muda.

"Ia satu pertarungan sengit sehinggalah kami memperoleh gol kedua," kata Messi.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Julai 2021 @ 11:56 AM