NORZA mengakui MOM sedang cuba untuk menyelami masalah dari persatuan sukan berhubung had kelayakan. FOTO Bernama
NORZA mengakui MOM sedang cuba untuk menyelami masalah dari persatuan sukan berhubung had kelayakan. FOTO Bernama
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Masih belum ada keputusan berhubung kriteria pemilihan atlet yang akan mengalas tugas di Sukan SEA Vietnam dan ia hanya akan diputuskan pada penghujung tahun ini.

Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Norza Zakaria memaklumkan bahawa pihaknya kini mencuba sedaya upaya untuk menyelami masalah daripada persatuan sukan terutama dari segi had kelayakan.

Katanya, memang tidak dinafikan bahawa wujudnya perbahasan berhubung hasrat untuk menghantar atlet muda ke temasya berkenaan kerana tidak semua persatuan sukan yang bersetuju dengan syarat berkenaan justeru banyak perkara yang perlu diperhalusi lagi.

"Kami kini sedang cuba untuk menyelami masalah dari persatuan sukan berhubung had kelayakan. Perjumpaan juga sudah diadakan untuk mendengar input dan maklum balas.

"Memang ada yang setuju dan ada yang tidak bila kita bercakap untuk menghantar atlet muda bertanding. Banyak perkara perlu diubah antaranya dari segi kriteria pemilihan.

"Jadi perkara ini akan dibincangkan semula dengan MSN (Majlis Sukan Negara) dan mungkin akan dimaklumkan pada penghujung tahun ini dan pada masa itu juga kita akan tahu sukan apa yang akan dipertandingkan di Vietnam nanti," katanya yang memaklumkan Vietnam menyenaraikan 36 sukan dengan Malaysia memohon rayuan tujuh lagi acara sukan.

Sementara itu Norza yang ditemui selepas mesyuarat ahli majlis yang berlangsung semalam, memaklumkan bahawa satu perjumpaan bersama Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican sudah diadakan bagi memohon bantuan yang lebih besar buat industri sukan bagi memastikan ia terus bernafas.

"Tak semua persatuan sukan yang boleh ke depan untuk dapatkan bantuan. Sebab mungkin sukan mereka tak diketengahkan besar-besaran. Sukan ini perlu dibantu agar mereka boleh meneruskan kesinambungan.

"Perkara itu sudah dibawa kepada menteri dan saya yakin ia sudah di bawa ke peringkat tertinggi namun kita tahu di pihak kerajaan apabila kita bercakap aspek yang perlu dibantu itu adalah banyak jadi kita berharap satu bantuan yang lebih besar kepada industri sukan untuk kerajaan pertimbangkan.

"Ini kerana melalui sukan kini kita boleh wujudkan kejohanan yang akan memberi satu perasaan yang bagus kepada masyarakat dan ini akan membuatkan rakyat akan rasa lebih bermotivasi dan akan membawa perkara yang baik kepada kerajaan dan negara," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 September 2020 @ 4:22 PM