NORZA berkata tiada kejohanan sepanjang tahun lalu menyukarkan atlet dan jurulatih membuat penilaian bagi memilih atlet ke Sukan SEA. FOTO Aizuddin Saad
NORZA berkata tiada kejohanan sepanjang tahun lalu menyukarkan atlet dan jurulatih membuat penilaian bagi memilih atlet ke Sukan SEA. FOTO Aizuddin Saad
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Selepas menilai daripada beberapa aspek dan keadaan semasa, Jawatankuasa Pemilihan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) memutuskan untuk menghantar gabungan atlet muda dan berpengalaman ke Sukan SEA Vietnam 2021.

Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria dalam satu kenyataan berkata, keputusan itu diambil selepas mengambil kira beberapa aspek terutama keadaan semasa yang terjejas kerana penularan Covid-19.

Malah keputusan juga dibuat berdasarkan pertemuan bersama persatuan sukan kebangsaan yang diadakan pada September lalu bagi membincangkan idea menghantar barisan atlet muda ke temasya Sukan SEA berkenaan.

"Selepas mesyuarat yang diadakan hari ini segala aspek termasuk komposisi atlet ke temasya itu dibincangkan.

"Ia turut mengambil kira kesan persiapan mereka dengan pelbagai kejohanan tempatan dan antarabangsa yang dibatalkan kerana Covid-19.

"Paling utama, pembatalan Sukma (Sukan Malaysia) 2020 kerana ia juga memberi kesan kepada atlet muda negara. Sukma adalah platform untuk mereka di pilih ke Sukan SEA 2021," katanya.

Norza berkata, tiadanya kejohanan sepanjang tahun lalu juga menyukarkan atlet dan jurulatih membuat penilaian bagi memilih atlet ke temasya berkenaan.

"Kriteria pemilihan bagi kategori A dan B dikekalkan namun jawatankuasa berhak memilih atlet yang mereka rasakan layak untuk berada dalam pasukan biarpun tidak memenuhi kriteria.

"Jawatankuasa pemilihan akan mengadakan pertemuan bersama persatuan sukan kebangsaan sebelum Mac ini untuk memutuskan atlet terbaik dalam setiap acara," katanya.

Terdahulu selepas tamatnya temasya Sukan SEA Manila 2019, kerajaan memutuskan untuk menghantar barisan atlet bawah 23 tahun untuk memberi pendedahan dan pengalaman kepada atlet muda negara di Hanoi.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Februari 2021 @ 8:01 PM