NORZA (tengah) mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa pemilihan Sukan Sea Hanoi 2022, hari ini. Bernama
NORZA (tengah) mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa pemilihan Sukan Sea Hanoi 2022, hari ini. Bernama
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Majlis Olimpik Malaysia (MOM) menegaskan bahawa belum ada sasaran pingat diputuskan buat kontinjen negara yang akan beraksi di temasya Sukan Sea Hanoi Mei ini.

Selepas tamat mesyuarat jawatankuasa pemilihan atlet ke Sukan Sea, Presiden MOM Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berkata, MOM ketika ini hanya memberi penekanan kepada proses pemilihan atlet yang perlu diputuskan sebelum tarikh tutup pemilihan iaitu 12 Mac ini.

Beliau yang ditemui pada sidang media selepas mesyuarat jawatankuasa pemilihan berlangsung berkata, ketika ini kontinjen negara yang akan ke Sukan Sea adalah seramai 770 orang membabit 574 atlet dan 196 pegawai.

Namun jumlah itu dijangka akan meningkat kerana masih terdapat beberapa lagi acara sukan yang akan berlangsung minggu ini membabitkan sukan olahraga, renang dan e-Sukan.

"Tak ada perbincangan berhubung sasaran pingat emas. Mesyuarat kali ini membabitkan 37 persatuan sukan untuk menentukan senarai pendek atlet yang layak beraksi.

"Ia juga memastikan atlet yang disenaraikan menepati kriteria yang ditetapkan iaitu tiga terbaik untuk kategori A dan enam terbaik kategori B bagi acara individu dan empat tempat teratas untuk kategori A dan lapan terbaik bagi kategori B dalam acara berpasukan.

"Kontinjen negara ke Hanoi kali ini akan mengambil bahagian dalam 40 sukan dari 43 jenis sukan yang dipertandingkan," katanya

Norza memaklumkan sehingga ke hari ini seramai 333 atlet lelaki dikenal pasti membabitkan 121 kategori A dan 212 kategori B manakala seramai 241 atlet wanita dengan pecahan 96 kategori A dan 145 kategori B.

Pada edisi lalu di Filipina, kontinjen negara menghantar seramai 772 atlet dan 340 pegawai dengan kejayaan membawa pulang 56 emas, 57 perak dan 71 gangsa.

Dalam perkembangan yang sama, Norza turut memaklumkan bahawa penganjur akan menggunakan pendekatan gelembung sukan bagi memastikan penularan Covid-19 dapat dikekang di kalangan atlet yang bertanding.

Temasya Sukan Sea kali ini akan berlangsung dari 12 hingga 23 Mei ini membabitkan 43 jenis sukan dengan 461 acara dipertandingkan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Mac 2022 @ 2:28 PM