NORZA berkata keputusan itu diambil berpandukan Artikel 24.2 dan 36.1 Perlembagaan MOM. FOTO NSTP
NORZA berkata keputusan itu diambil berpandukan Artikel 24.2 dan 36.1 Perlembagaan MOM. FOTO NSTP
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Majlis Olimpik Malaysia (MOM) membuat keputusan untuk menggantung keahlian Malaysian Dance Sport Berhad (MDSB) selepas persatuan berkenaan hilang pengiktirafan daripada Persekutuan Sukan Tarian Dunia (WDSF).

Menurut Presiden MOM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria usul itu diluluskan dalam satu Mesyuarat Majlis Eksekutif MOM Kali Ke-200 dan akan dibawa ke Perhimpuan Agung Tahunan organisasi berkenaan.

"Keputusan itu diambil berpandukan Artikel 24.2 dan 36.1 Perlembagaan MOM dan ia diputuskan selepas menerima konsultasi daripada Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC), WDSF dan Pejabat Pesuruhjaya Sukan (PPS)," kata Norza.

Ujarnya, persatuan yang mempunyai afliasi dengan persekutuan antarabangsa perlu memohon kepada MOM (untuk menjadi ahli gabungan).

"Kita akan melihat kepada proses dan perkara lain, samada memenuhi kriteria MOM itu ataupun tidak," katanya.

Ketika ditanya mengenai nasib atlet untuk beraksi di temasya Sukan Sea Vietnam, Mei ini, Norza berkata, buat masa sekarang mereka sudah membuat proses pemilihan dan juga mempunyai kriteria.

"Kalau memenuhi kriteria dan menerima pengiktirafan dari persekutuan antarabangsa, kita akan memberi peluang kepada mereka dan mereka juga diberitahu mengenai perkara ini dan ia tidak ada isu mengenainya," katanya.

Mengulas mengenai status Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) yang baru-baru ini turut disingkirkan Persekutuan Sepak Taktaw Antarabangsa (Istaf), Norza berkata, masih belum ada keputusan yang mengenainya.

"Saya fikir banyak perkara masih dalam perbincangan mengenai isu sepak takraw. Kita akan tunggu dan lihat sebelum membuat sebarang keputusan namun buat masa ini, PSM masih lagi ahli gabungan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 Mac 2022 @ 6:31 PM