NUR Azmi harap tiada sasaran  tinggi menggunung diletakkan di bahu atlet negara.
NUR Azmi harap tiada sasaran tinggi menggunung diletakkan di bahu atlet negara.
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Ketua kontinjen negara ke temasya Sukan Sea Vietnam, Datuk Paduka Nur Azmi Ahmad menyokong penuh pendekatan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) yang hanya akan menghantar skuad terbaik di temasya dwi tahun itu.

Bagaimanapun, pengumuman MOM itu bakal menyaksikan pengurangan penyertaan kontinjen negara ke temasya itu berikutan kekangan yang dihadapi ketika ini selain syarat ketat bagi penyertaan di bawah kategori B.

Justeru beliau yang juga Setiausaha Agung Persekutuan Karate Malaysia (Makaf) berharap tiada sasaran tinggi menggunung diletakkan di bahu atlet negara untuk mencapai sasaran pingat.

"Saya memang sokong pendekatan MOM itu yang mana atlet mendapat pingat akan diutamakan dan bagi atlet lain mereka perlu berusaha lebih keras untuk mendapatkan tempat.

"Tapi perlu diingat dari satu sudut lain yang mana untuk pembangunan sukan negara akan terjejas kerana tiada semua persatuan mempunyai wang cukup untuk membiayai penyertaan atlet di bawah kategori B ini.

"Selain itu juga ia akan turun memberi kesan kepada jenis sukan yang mempunyai banyak kategori terutama seperti sukan tempur, olahraga mahupun akuatik dan bagaimana persatuan menilai kemampuan atlet sekiranya penyertaan dihadkan dan mereka mempunyai masalah kewangan," katanya.

Menganalisa kedudukan secara keseluruhan, Azmi turut meluahkan kegusarannya ketika ini yang mana ia benar tampak sukar buat atlet negara berdepan kesukaran untuk membuat persediaan apabila banyak kejohanan dibatalkan dan pendedahan ke luar negara turut tidak dapat dijalankan.

Sementara itu bagi Kongres Tenpin Boling Malaysia (MTBC), mereka perlu melihat secara menyeluruh mengenai syarat penyertaan yang ditetapkan kepada atlet negara. Setiausaha Agungnya Maradona Chok berkata, berdasarkan syarat dikeluarkan oleh MOM itu pendekatan yang sama digunakan setiap kali temasya.

"Bagi MTBC, kami akan tunggu sehingga Januari ini berhubung kriteria sebenar untuk atlet. Jika dilihat ia sebenarnya pendekatan sama tapi sekarang ini kami perlu menunggu penjelasan lanjut dari MSN (Majlis Sukan Negara) berhubung syarat sebenar pemilihan atlet," katanya.

Terdahulu MOM memperketat kriteria bagi atlet di bawah Kategori B untuk menyertai tiga temasya sukan utama tahun depan iaitu Sukan Sea, Sukan Komanwel dan Sukan Asia.

Bagi Sukan Sea, Presidennya Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berkata Jawatankuasa Pemilihan MOM mempunyai kriteria diperketat iaitu atlet individu di bawah Kategori B perlu berada dalam kelompok enam terbaik bagi melayakkan diri ke temasya terbabit berbanding lapan sebelum ini dalam acara sukan masing-masing.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Disember 2021 @ 6:23 PM