NORZA (kanan) pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Lembaga Eksekutif MOM. FOTO Bernama
NORZA (kanan) pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Lembaga Eksekutif MOM. FOTO Bernama
Aida Adilah Mat


MAJLIS Olimpik Malaysia (MOM) dan Majlis Sukan Negara (MSN) akan mengadakan pertemuan bagi membincangkan kriteria khusus berhubung dengan pemilihan atlet ke Sukan SEA Vietnam sekiranya bakal menghantar barisan atlet muda.

Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria memaklumkan perkara itu akan diperhalusi sebelum sesi pemilihan atlet dimuktamadkan.

Katanya, draf berhubung pemilihan atlet muda dijangka siap pada penghujung tahun dan segala aspek akan diperincikan mengikut kesesuaian agar persatuan mempunyai masa yang cukup untuk mempersiapkan atlet mereka.

"Kriteria pemilihan tak bolehlah sama. Jika dulu kita tetapkan untuk tiga terbaik di Sukan SEA lalu tapi kalau kali ini atlet muda yang akan terpilih, perlu adalah kriteria lain contohnya menang Sukma (Sukan Malaysia) atau sebagainya.

"Semua ini akan dibincangkan dengan teliti kerana fokus kita untuk lima tahun akan datang," katanya.

Sementara itu Norza memaklumkan bahawa Malaysia menghantar rayuan permohonan untuk tuan rumah menyenaraikan 11 acara sukan yang mana keputusan rayuan itu mungkin akan diketahui November ini.

"Jika melihat daripada penganjuran sebelum ini, sebanyak 36 hingga 40 acara sukan akan dipertandingkan. Ketika ini tuan rumah sudah memaklumkan 36 acara sukan.

"Jadi mungkin mereka akan menambah tiga atau empat lagi acara sukan baru. Semua itu bergantung kepada kemampuan mereka untuk menganjurkannya. Kalau mereka tidak mempunyai venue atau atlet pasti mereka tidak akan menganjurkan acara itu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Ogos 2020 @ 6:07 PM