Ketua Menteri Melaka, Datuk Sulaiman Md Ali. FOTO NSTP
Ketua Menteri Melaka, Datuk Sulaiman Md Ali. FOTO NSTP
Nazri Abu Bakar


PRESIDEN Persatuan Bola sepak Melaka United (MUSA) yang juga Ketua Menteri Melaka, Datuk Sulaiman Md Ali yakin pasukan Melaka mampu menewaskan Terengganu FC (TFC) pada aksi Liga Super di Stadium Hang Jebat, Paya Rumput malam esok.

Baginya, jika prestasi sama seperti menundukkan Perak 1-0 di Ipoh minggu lalu mampu diterjemahkan tidak mustahil pasukan Hang Tuah mampu menambah kutipan tiga mata berharga bagi memperbaiki kedudukan di carta liga.

Menurutnya, apa yang penting persembahan pasukan bakal lebih kemas dengan barisan pertahanan, tengah dan serangan menampilkan keserasian lebih jitu untuk mengecewakan lawan.

Sebahagian pemain Melaka menjalani latihan. FOTO Musa
Sebahagian pemain Melaka menjalani latihan. FOTO Musa

"Kalau di lihat kedudukan TFC yang kini berada di tangga kedua liga sememangnya lawan di lihat memiliki reputasi tinggi untuk memberi cabaran, namun apa yang penting komitmen tinggi pemain untuk menang mampu membawa khabar gembira.

"Kelebihan di gelanggang sendiri harus digunakan sebagai mungkin untuk menidakkan kesungguhan barisan pelawat yang mendapat suntikan kemenangan besar mereka sebelum ini," katanya yang meramalkan Melaka mengatasi TFC 1-0.

Berkaitan isu logo Sulaiman berkata, MUSA sudah menghantar hasil ciptaan terbabit kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk pengesahan sebelum ianya boleh digunakan untuk pasukan Melaka United FC (MUFC) bagi saingan liga musim depan.

Katanya, dia bersyukur logo berkenaan mendapat sambutan dengan komen yang menarik selain menampakkan ciri -ciri pokok Melaka warna dan lambang yang sinonim dengan pasukan berkenaan selain cukup padat, ringkas dengan maksud yang mendalam.

Malah setakat ini diyakini ianya tiada masalah untuk digunakan kelak namun jika ianya tidak dibenarkan MUSA akur dengan sebarang keputusan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 September 2020 @ 2:16 PM