PENYERANG Melaka United,  Ifedayo Olusegun (dua dari kiri) cuba melepasi pemain Imigresen FC pada perlawanan persahabatan di Stadium Hang Jebat, malam tadi. FOTO ihsan FB MELAKA UNITED FC
PENYERANG Melaka United, Ifedayo Olusegun (dua dari kiri) cuba melepasi pemain Imigresen FC pada perlawanan persahabatan di Stadium Hang Jebat, malam tadi. FOTO ihsan FB MELAKA UNITED FC
Nazri Abu Bakar


Melaka: Pasukan Melaka United (MU) perlu mengambil kesempatan untuk mengumpul tiga mata pada aksi Liga Super berdepan Sri Pahang di Stadium Hang Jebat, Paya Rumput, Sabtu ini.

Presiden Persatuan Bolasepak Melaka United (Musa), Datuk Paduka Nur Azmi Ahmad berkata, peluang terbabit harus digunakan sebaik mungkin dalam memastikan mata maksimum mampu diraih.

Menurutnya, selepas tewas 1-2 kepada Sabah di Likas pada minit akhir perlawanan, sebelum ini, sudah pasti semangat pemain membuak-buak untuk memastikan tidak hampa pada aksi di laman sendiri.

Beliau yang juga Naib Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) dan Ketua Kontinjen (CDM) Malaysia ke Sukan Sea Hanoi, yakin skuad Hang Tuah memiliki ramuan tersendiri untuk melayan kehadiran lawan yang kini mula menunjukkan taring sebenar mereka.

"Kemenangan 3-0 Sri Pahang ke atas PJ City, malam tadi, harus meningkatkan moral pemain Melaka untuk menafikan kebangkitan skuad bimbingan Dollah Salleh itu.

"Apapun saya melihat prestasi Melaka semakin baik dan yang penting mereka mampu mengekalkan momentum dalam baki aksi liga selepas ini.

"Menerusi kesungguhan dan komitmen jurulatih, pemain dan pengurusan pasukan sudah pasti kita mengharapkan mereka mampu terus lebih baik untuk kecemerlangan pasukan," katanya.

Nur Azmi berkata, dengan baki sembilan perlawanan mereka perlu mengumpul sebanyak mungkin mata untuk menempatkan kedudukan dalam kelompok kelompok teratas.

Pada masa sama, beliau turut mengucapkan terima kasih kepada Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali yang memberi mandat kepadanya sebagai Presiden Musa dan tanggungjawab itu akan dipikul dengan penuh dedikasi.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Ogos 2022 @ 7:30 PM