NICK Sham sedia berbakti. FOTO NAZRI ABU BAKAR
NICK Sham sedia berbakti. FOTO NAZRI ABU BAKAR
Nazri Abu Bakar

BEKAS jurulatih bola sepak wanita Malaysia di pentas Sukan SEA 2003 yang juga pernah beraksi bersama Johor 1970-an, Nick Sham Abdullah sedia berbakti kepada pembangunan akar umbi Persatuan Bolasepak Melaka (MUSA).

Baginya, pengalaman yang ada termasuk pernah melatih skuad Melaka 2007-2009 dan Majlis Perbandaran (MP) Muar 2010-2012 di pentas Liga Perdana mahu dicurahkan sebaik mungkin.

Katanya, pembangunan akar umbi amat penting dalam menyediakan pemain berbakat untuk pasukan Hang Tuah pada masa depan.

Menurutnya, banyak pengalaman yang ada terutama ketika beraksi sebagai permain pertahanan Johor 1974-1977 yang seangkatan pemain kebangsaan kelahiran negeri terbabit termasuk Osman Abdullah, Hasan Yahya, Zainudin Ahmad dan Samad Osman antara faktor beliau menawarkan diri.

"Malah ketika ini juga saya agak berkelapangan daripada sebarang aktiviti dengan kebanyakan dihabiskan di kebun pisang dan buah-buahan yang diusahakan di Alor Gajah, Melaka.

"Justeru, saya sedia menawarkan diri untuk membimbing bakat baru berkenaan bagi mana-mana program yang dianjurkan MUSA untuk tujuan pembentukan barisan pelapis ,"katanya.

Sehubungan itu, beliau yakin dengan terdapatnya lebih banyak program akar umbi ianya lebih baik dalam usaha menyediakan pemain terbaik masa depan buat skuad berkenaan dan pasukan negara.

Beliau berkata, dengan kemudahan sukan yang baik terutama terdapat 10 padang bola sepak di Wisma MUSA di Paya Rumput ianya mampu menjadi medan positif untuk tujuan itu.

Malah, beliau juga yakin kepimpinan baharu MUSA di bawah presiden baharu yang juga Ketua Menteri Melaka, Datuk Sulaiman Md Ali mampu meletakkan Melaka lebih gah pada masa depan.

Dalam masa sama beliau juga bangga berikutan terdapat ahli gabungan persatuan bola sepak berkenaan yang menganjurkan program sedemikian yang sekali gus membantu MUSA melahirkan pemain berwibawa.

Nick Sham berkata, setiap usaha mana-mana pihak mengajurkan akademi bola sepak sendiri amat baik untuk melahirkan lebih ramai pemain muda berpotensi yang akhirnya akan dapat dimanfaatkan untuk pasukan negeri dan negara.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Mei 2020 @ 3:30 PM