KEADAAN padang di Wisma MUSA. FOTO Nazri Abu Bakar
KEADAAN padang di Wisma MUSA. FOTO Nazri Abu Bakar
Nazri Abu Bakar


PERSATUAN Bolasepak Melaka United (MUSA) bercadang menaik taraf 10 padang bola sepak di Wisma MUSA di Kompleks Sukan Melaka, Paya Rumput dalam tempoh terdekat.

Presiden MUSA yang juga Ketua Menteri Melaka, Datuk Sulaiman Md Ali berkata, usaha itu membolehkan kemudahan 10 padang bola sepak itu digunakan mana-mana pasukan di negeri terbabit serta dari luar Melaka.

Katanya, konsep menaik taraf termasuk pembinaan padang sinsetik juga boleh merancakkan industri sukan dan kemajuan bola sepak serta infrastruktur sukan di negeri terbabit.

Sehubungan itu, MUSA mengalu-alukan sebarang tajaan dan mana-mana pihak bagi program membangunkan kemudahan berkenaan pada masa terdekat.

"Naik taraf merangkumi kemudahan latihan, gimnasium, bilik persalinan, bilik seminar juga selaras dengan penswastaan pasukan Melaka United Melaka United Football Club (MUFC) bermula bagi saingan liga Malaysia musim depan.

"Dengan naik taraf seperti pembinaan kemudahan lampu limpah, sudah pasti ia juga memberi impak terhadap kualiti bola sepak di negeri terbabit kelak," katanya.

Bagaimanapun, semuanya terpulang kepada penajaan mana-mana pihak yang berminat berbuat demikian.

Sulaiman berkata, sudah semestinya kemudahan yang baik mampu membawa pulangan yang positif terhadap kualiti bola sepak.

Ketika ini, padang berkenaan digunakan persatuan terbabit bagi saingan Liga MUSA dan sesi latihan pasukan remaja namun tidak sesuai digunakan untuk liga kompetitif akibat permukaan padang yang tidak rata.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 31 Ogos 2020 @ 7:39 PM