PESERTA Bengkel Hala Tuju Pembangunan Bola Sepak Melaka (M:10) yang di adakan di bandaraya Melaka. FOTO NAZRI ABU BAKAR
PESERTA Bengkel Hala Tuju Pembangunan Bola Sepak Melaka (M:10) yang di adakan di bandaraya Melaka. FOTO NAZRI ABU BAKAR
Nazri Abu Bakar

Melaka: Persatuan Bolasepak Melaka United (MUSA) mengenal pasti tiga kerangka pembangunan dalam usaha persatuan itu menjadi antara pengeluar bakat bola sepak di negara ini dalam tempoh 10 tahun.

Naib Presiden MUSA, Noor Azman Rahman berkata, kerangka berkenaan merangkumi penekanan terhadap pengembangan bakat akar umbi, belia serta pembangunan jurulatih.

Katanya, dengan usaha berkenaan membolehkan MUSA mampu memberi bayangan untuk menjadi antara pengeluar bakat bola sepak proaktif dalam kancah arena bola sepak tempatan dan antarabangsa.

Menurutnya, pendekatan pertama menerusi Bengkel Hala Tuju Pembangunan Bola Sepak Melaka (M:10) yang di bandaraya Melaka selama dua hari baru -baru ini.

Hadir sama Pengarah Teknikal Persatuan Bola Sepak Malaysia Datuk Ong Kim Swee.

Beliau berkata, bengkel turut memenuhi saranan Presiden MUSA Datuk Seri Sulaiman Md Ali yang mahu negeri itu melahirkan lebih ramai bakat muda jurulatih bertauliah.

"Sehubungan itu dalam tempoh terbabit pelbagai program 'grassroot', kursus-kursus bagi mendapatkan lesen kejurulatihan di adakan pelbagai peringkat termasuk pada masa terdekat.

"Dalam masa sama, program pembangunan bola sepak di peringkat belia dan tunas bakal membabitkan kerjasama dengan pelbagai pihak termasuk kategori bawah 18 , 16, 14 dan 12 tahun giat disusun," katanya.

Noor Azman yang juga Pengerusi Jawatankuasa Teknikal dan Pembangunan Belia MUSA berkata, pihaknya juga mengalu-alukan sebarang bentuk kerjasama dengan pihak swasta serta agensi berkaitan kerajaan (GLC) untuk menjayakan M:10 berikutan kekangan tajaan.

Malah dengan kerjasama berkenaan mampu meningkatkan fasiliti sukan itu sebagai platform merencanakan perancangan 10 tahun MUSA.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Mei 2021 @ 4:51 PM