WINDSOR mengakui mereka sentiasa memantau perkembangan terkini di Uzbekistan. FOTO Owee Ah Chun
WINDSOR mengakui mereka sentiasa memantau perkembangan terkini di Uzbekistan. FOTO Owee Ah Chun
Ferzalfie Fauzi


KONFEDERASI Bolasepak Asia (AFC) memberi bayangan akan menunda kejohanan Kejuaraan AFC Bawah 19 tahun (B-19) di Tashkent, Uzbekistan yang akan berlangsung pada 14 hingga 31 Oktober ini ke tarikh baharu.

Situasi berkenaan bergantung keadaan semasa kes Covid-19 di negara tuan rumah dan juga negara-negara yang mengambil bahagian.

Menurut, Setiausaha Agung AFC Datuk Windsor Paul, beliau mengakui mereka sentiasa memantau perkembangan terkini berhubung perkara itu dan keputusan paling awal dapat dibuat oleh AFC mengenai penangguhan atau sebagainya akan diumumkan pada hujung bulan ini atau pada September.

"Mesyuarat AFC esok bukan sahaja membincangkan mengenai kejohanan bawah 19 tahun tetapi membabitkan semua kejohanan termasuk penukaran tarikh Piala Dunia.

"Ia mesyuarat biasa untuk memberitahu maklumat terkini kepada ahli jawatankuasa pertandingan mengenai apa yang sedang berlaku ketika ini dan mendapatkan beberapa pandangan berhubung kejohanan yang dianjurkan selepas dunia dilanda pandemik Civod-19.

"Buat masa ini tiada keputusan, tapi kita sentiasa memantau situasi terkini kerana kes Covid-19 ini berbeza setiap hari di setiap negara termasuk negara tuan rumah.

"Paling awal keputusan mungkin dibuat pada hujung bulan ini kerana membabitkan banyak perkara. Sudah pasti keputusan terbaik akan dibuat demi kesihatan dan keselamatan semua pihak yang terlibat," katanya.

Setakat semalam, Uzbekistan merekodkan lebih daripada 35,513 kes Covid-19 dengan 25,100 berjaya disembuhkan manakala 234 kematian direkodkan.

Kejohanan AFC B-19 yang akan berlangsung di Uzbekistan itu menawarkan empat slot automatik ke Piala Dunia Bawah 20 tahun di Jakarta pada 20 Mei hingga 12 Jun tahun depan.

Malaysia menyasarkan untuk layak ke Piala Dunia B-20 diletakkan dalam Kumpulan D dengan dua pasukan dari Asia Barat dan satu Asia Tengah iaitu Qatar, Yaman dan Tajikistan.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Ogos 2020 @ 8:36 PM