Willian pada aksi Piala Dunia menentang Switzerland. FOTO REUTERS
Willian pada aksi Piala Dunia menentang Switzerland. FOTO REUTERS
Agensi

LONDON: Manchester United menyediakan 60 juta pound (RM318.33 juta) bidaan untuk membawa Willian dari Chelsea, musim panas ini.

Bos United, Jose Mourinho sedang mencari pertemuan semula dengan pemain sayap Brazil, 29, yang pertama kali dibawa ke England dari Shakhtar Donetsk lima tahun lalu.

Willian yang beraksi bersama Brazil ketika seri menentang Switzerland, jarang diturunkan oleh Chelsea dan hanya beraksi 20 kali dalam Liga Perdana Inggeris musim lalu.

Dia mengakui sukar menyesuaikan diri dengan kehidupan di bangku simpanan walaupun dimahkotakan selaku Pemain Terbaik Tahunan Chelsea bulan lalu.

Mourinho sudah lama meminati gaya permainan Willian dan United bertanya mengenainya pada Januari ketika Chelsea enggan melepaskannya.

Pengendali dari Portugal itu berharap bekas pemainnya dapat menghidupkan serangan United, yang memiliki jumlah jaringan terendah dalam carta empat terbaik Liga Perdana Inggeris musim lalu.

Willian mempunyai baki kontrak dua tahun di Stamford Bridge.

Ketika ditanya mengenai perpindahan rakan senegaranya, Fred ke Old Trafford awal bulan ini, Willian menggambarkan United sebagai ‘salah satu pasukan terbaik di dunia’.

“Sudah tentu (Fred boleh memberikan kesan), tidak syak lagi. Dia mempunyai banyak kualiti,” kata Willian ketika sidang media sebelum terbang ke Russia.

“Dia boleh meningkatkan persembahan mereka. Dia pergi ke salah satu pasukan terbaik di dunia. Saya gembira dengannya. Saya harap dia berjaya di Manchester United.

“Dia sangat gembira datang ke Liga Perdana Inggeris untuk bermain. Kami ada bercakap mengenainya.”

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Jun 2018 @ 2:29 PM