Danielle Kang melakukan pukulan kejohanan Marathon Classic di Kelab Golf Highland Meadows dekat Sylvania, Ohio. FOTO AFP
Danielle Kang melakukan pukulan kejohanan Marathon Classic di Kelab Golf Highland Meadows dekat Sylvania, Ohio. FOTO AFP
AFP

PEMAIN nombor dua dunia, Danielle Kang dan pemain New Zealand, Lydia Ko masing-masing melakukan tujuh di bawah par 64 untuk berkongsi kedudukan pendahulu pada pusingan pembukaan LPGA Marathon Classic.

Danielle segar dari kejayaan Drive On Championship minggu lalu sekali gus menamatkan kemarau sejak pertengahan Februari, untuk meneruskan momentum dengan tujuh birdie dalam pusingan bogey bebas di Highland Meadows, dekat Sylvania, Ohio.

"Jika anda bermain baik, anda harus mempunyai kepercayaan terhadap permainan anda dan meneruskan rentak permainan anda, jadi ia telah menjadi perancangan saya," kata Danielle.

"Saya berjaya melakukannya dengan baik. Meletakkan kepantasan dalam permainan. Hanya perlu terus menaruh keyakinan dengannya.

"Saya berkerja keras melakukan pukulan sejak beberapa hari lalu. Tidak begitu berpuas hati dengan bagaimana cara bola dimasukkan ke dalam lubang. Tetapi saya mempunyai perasaan yang bagus mengenainya, kemudian hari ini permainan saya berjalan lancar.

"Ada harinya bola bergerak seperti dijangka dan itulah yang berlaku."

Pemain dari Amerika berusia 27 tahun itu begitu teruja untuk kembali ke peringkat akhir kejohanan selepas kempen LPGA 2020 tergantung kerana Covid-19 pada pertengahan Februari disusuli hanya empat acara.

"Enam atau tujuh bulan rehat semestinya saya sangat rindu untuk bertanding," katanya.

"Dibenarkan semula kembali dan bertanding lagi adalah antar perkara yang membuatkan saya paling gembira."

Bekas pemain nombor satu dunia, Lydia memenangi Marathon Classic pada 2014 dan 2016 tetapi dia menempuhi pusingan terbaik di kejohanan itu ketika dia memburu kejayaan pertama LPGA sejak April 2018.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Ogos 2020 @ 10:44 AM