NASA harap ulangi kejayaan tahun lalu. FOTO AP
NASA harap ulangi kejayaan tahun lalu. FOTO AP
AFP

Washington: Penyandang juara, Nasa Hataoka dari Jepun mengetuai pemain yang terdiri daripada juara kejuaraan utama dan bintang remaja sedang meningkat naik apabila mereka menyertai Terbuka Dana LPGA.

Nasa melakukan catatan terendah 61 pukulan pada pusingan pembukaan tahun lalu di Highland Meadows di Sylvania, Ohio dan muncul juara selepas saingan itu dipendekkan kepada 54 lubang kerana cuaca buruk.

"Lapangan di sini sangat mencabar. Fairways yang sangat sempit, kawasan greens pula terlalu kecil, jadi ia sangat penting untuk memulakan pukulan dengan baik. Saya berjaya melakukannya tahun lalu. Saya rasa itulah kuncinya," kata Nasa.

Nasa meraih kejuaraan kali keenam LPGA pada April di Terbuka Los Angeles dan berharap dapat mengulanginya.

"Kejayaan di LA ternyata memberikan saya keyakinan, terutama sekali di lapangan golf yang sukar.

"Baru-baru ini saya tidak bertanding, tetapi saya rasa musim luruh adalah musim saya. Jadi saya akan cuba yang terbaik, dan mungkin dua kemenangan adalah angka yang bagus," katanya.

Azahara Munoz dari Sepanyol dan Paula Creamer dari Amerika Syarikat akan kembali ke permainan LPGA selepas rehat melahirkan anak.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 September 2022 @ 9:48 AM