PENYOKONG Saint-Etienne menyerbu padang selepas pasukannya tersingkir dari saingan Ligue 1. FOTO AFP
PENYOKONG Saint-Etienne menyerbu padang selepas pasukannya tersingkir dari saingan Ligue 1. FOTO AFP
AFP

Saint-Etienne: Saint-Etienne iaitu antara kelab terbesar di Perancis, tersingkir dari Ligue 1, hari ini selepas tewas penentuan sepakan penalti pada perlawanan play-off dengan Auxerre, yang kembali semula ke liga utama selepas 10 tahun.

Kekalahan itu menyebabkan penyokong Saint-Etienne yang marah menyerbu padang sehingga memaksa polis Perancis menggunakan gas pemedih mata.

Saint-Etienne yang menamatkan saingan di tangga ketiga tercorot dalam Ligue 1, sebelum ini seri 1-1 dalam perlawanan pertama play-off menentang Auxerre yang beraksi di Ligue 2.

Perlawanan kedua di Stade Geoffroy-Guichard, hari ini, berakhir 1-1 apabila pemain Saint-Etienne, Mahdi Camara memadam kelebihan jaringan awal Hamza Sakhi.

Berikutan kedudukan terikat 2-2, keputusan terpaksa ditentukan menerusi penentuan penalti sebelum Auxerre menang 5-4 apabila penjaga golnya, Donovan Leon menyelamatkan sepakan Ryad Boudebou.

Sebaik saja Birama Toure menyempurnakan penalti terakhir, penyokong Saint-Etienne menyerbu ke arah padang dan membaling suar ke arah tempat duduk pegawai.

Pemain kedua-dua pasukan melarikan diri ke bilik persalinan, tetapi rakaman televisyen Prime Video dari terowong menunjukkan pemain, staf dan pegawai perlawanan terbatuk berikutan gas pemedih mata digunakan polis untuk menyuraikan penyokong di tengah padang.

Saint-Etienne sudah beberapa kali dihukum pada musim ini berikutan sikap penyokong mereka dan perlawanan hari ini berlangsung dengan satu kawasan penyokong ditutup berikutan kejadian ketika menentang Monaco pada hujung April lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 Mei 2022 @ 9:53 AM