PEMAIN TFC menjalani latihan dalam normal baharu sejak Isnin lalu di Kompleks Sukan Negeri Terengganu di Gong Badak. FOTO Ghazali Kori
PEMAIN TFC menjalani latihan dalam normal baharu sejak Isnin lalu di Kompleks Sukan Negeri Terengganu di Gong Badak. FOTO Ghazali Kori
Malik Muhamad


PEMAIN Terengganu FC (TFC) kini dalam proses untuk pamerkan aksi sebenar.

Demikian reaksi pengurus skuad itu, Ahmad Shahrizal Yahya ketika ditanya mengenai prestasi semasa skuad Penyu selepas lebih tiga bulan 'berkurung' di rumah bagi mematuhi tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang kini memasuki fasa pemulihan.

Skuad Penyu mula menjalani latihan sejak Isnin minggu lalu bawah kendalian jurulatih, Nafuzi Zain yang dibantu Subri Sulong, Rosdi Talib serta jurulatih penjaga gol, Yazid Yasin di Padang C Kompleks Sukan Negeri Terengganu (KSNT) di Gong Badak.

Shahrizal menjelaskan tahap kecergasan semua pemain kini semakin baik, namun mengakui anak buah Nafuzi itu masih memerlukan masa lagi untuk membentuk keserasian dan aksi yang mantap sebelum liga bermula.

Selain itu apa yang lebih menggembirakan beliau apabila semua pemain bebas daripada kecederaan selain kian bertenaga untuk menyambung semula aksi dalam kancah Liga Super dan Piala Malaysia

"Walaupun baharu dua minggu menjalani latihan selepas tiga bulan tidak turun ke padang, komitmen dan tahap kecergasan pemain kini semakin baik dan bertenaga.

"Mereka dapat mengikuti latihan dalam suasana normal baharu dengan kepatuhan yang tinggi terhadap prosedur operasi dtandard (SOP).

"Mereka juga dalam proses untuk kembali pada tahap prestasi sebenar sebagai persediaan sebelum liga bermula, lebih gembira setakat ini mereka tidak mengalami sebarang kecederaan.

"Cuma kita masih menunggu kehadiran Faris yang masih berada di negaranya. Jika pemain itu tiba sudah pasti memudahkan jurulatih merangka latihan dan strategi," katanya.

Peluang skuad itu untuk mengintai kedudukan lebih baik musim ini cerah kerana masih berbaki lapan perlawanan lagi dengan masing-masing empat perlawanan di laman sendiri dan laman lawan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Julai 2020 @ 1:39 PM