FARIS (kanan) sudah mendapat kelulusan Jabatan Imigresen untuk kembali ke negara ini. FOTO MLF
FARIS (kanan) sudah mendapat kelulusan Jabatan Imigresen untuk kembali ke negara ini. FOTO MLF
Malik Muhamad


PEMAIN import Terengganu FC (TFC) kelahiran Singapura, Muhammad Faris Ramli sudah mendapat 'lampu hijau' untuk menyertai kembali kem latihan pasukan selepas lebih tiga bulan 'berkurung' di negaranya.

Bagaimanapun, pemain sayap yang baharu tiga kali membuat penampilan bersama skuad Penyu itu perlu menjalani ujian calitan atau 'swab test' sebelum berangkat ke Terengganu.

Faris ketika dihubungi menyatakan sudah tidak sabar untuk kembali bersama rakan sepasukan selepas menjalani latihan bersendirian di kediamannya bagi mematuhi pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Singapura dan Malaysia.

Malah pemain kebangsaan skuad Singapura itu akui gagal mencapai kepuasan berlatih seorang diri di negaranya lebih-lebih lagi hanya melakukan senaman asas untuk mengekalkan tahap kecergasan tanpa bola.

"Alhamdulillah saya sudah mendapat surat kebenaran daripada Jabatan Imigresen Malaysia untuk kembali menjalani latihan bersama rakan sepasukan di Terengganu.

"Perkembangan ini begitu positif walaupun perlu menunggu surat kebenaran itu ketika pasukan sudah menjalani latihan di padang hampir dua minggu lalu.

"Namun setakat ini saya belum tahu lagi tarikh sebenar akan tiba di Kuala Terengganu kerana perlu menjalani 'swab test' terlebih dahulu, tapi saya percaya tempoh ujian itu tidak lama mungkin dalam masa terdekat saya boleh kembali dalam kem latihan pasukan," ujar Faris.

Sebelum ini latihan skuad Penyu tanpa kelibat bintang import dari Singapura itu yang pulang ke negaranya sebelum tempoh PKP berkuat kuasa kerana masih menunggu kelulusan daripada Imigresen Malaysia.

Dengan perkembangan itu sudah pasti kem latihan skuad Penyu yang dikendalikan jurulatih Nafuzi Zain dan pembantunya, Subri Sulong serta Rosdi Talib akan kembali ceria kerana semua pemain sudah menjalani latihan sejak Isnin minggu lalu di Padang C, Kompleks Sukan Negeri Terengganu (KSNT) di Gong Badak kecuali Faris.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Julai 2020 @ 2:35 PM