KEHADIRAN Heung Min bakal memberi kesan kepada pasukan United. FOTO AFP
KEHADIRAN Heung Min bakal memberi kesan kepada pasukan United. FOTO AFP
AFP

JOSE Mourinho berkata, Harry Kane, Moussa Sissoko dan Son Heung Min akan diletakkan dalam kesebelasan utama menjelang pertemuan dengan Manchester United bagi saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) awal pagi esok.

Tiga bulan aksi tertangguh akibat pandemik Covid-19 jelas sekali banyak membantu Spurs berbanding kelab lain, apabila pemain utama mereka sempat sembuh dari kecederaan.

Bagaimanapun, mereka mempunyai tugas penting dalam mencari slot ke saingan Liga Juara-Juara musim depan.

Mereka sekarang ini tujuh mata ketinggalan di belakang Chelsea yang menduduki tangga keempat dan dibezakan empat mata dengan United di tangga kelima, tatkala pasukan bimbingan Ole Gunnar Solskjaer itu mampu layak jika Manchester City kekal dengan penggantungan tidak boleh beraksi di peringkat Eropah selama dua musim.

Spurs akan melakukan ujian kecergasana ke atas Giovani Lo Celso, manakala Jan Vertonghen mampu diturunkan walaupun kontraknya berakhir 30 Jun ini.

Mourinho berkata, Lo Celso bergelut dengan kecederaan sebelum saingan ditangguhkan Mac lalu tapi disebabkan perintah berkurung pemain berkenaan tidak dapat menjalani pemulihan sempurna.

"Disebabkan peraturan, kecederaan yang dialaminya tidak memerlukan pembedahan tapi harus menjalani rutin pemulihan harian, iaitu berhubung secara rapat dengan pakar fisiologi dan jurulatih kecergasan.

"Sudah dua bulan dia bergelut dengan kecederaan itu dan tidak mampu sembuh seperti biasa," katanya.

Vertonghen berhasrat untuk meninggalkan Spurs tapi Mourinho berharap mereka mampu mencapai kata persetujuan untuk mengekalkan pertahanan Belgium itu sehingga berakhir kempen musim ini.

Mourinho mengakui mereka berdepan tugas berat melayakkan diri ke Liga Juara-Juara namun ia akan dijadikan satu motivasi.

"Pertarungan untuk kedudukan empat teratas sangat menarik jika kita semua bermula dengan jumlah mata sama. Malangnya ia tidak berlaku," kata Mourinho.

Spurs tidak dapat menurunkan Dele Alli selepas bintang antarabangsa England itu dikenakan penggantungan satu perlawanan selepas mempersendakan Covid-19 di media sosial.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Jun 2020 @ 11:56 AM