Brooks Koepka. FOTO File AFP
Brooks Koepka. FOTO File AFP
AFP

KEJOHANAN PGA akan diadakan pada Ogos ini tanpa penonton selepas pegawai kesihatan California memberi lampu hijau bagi penganjuran kejuaraan golf utama pada 2020, menurut laporan San Francisco Chronicle.

Pertandingan dijadualkan pada 6 hingga 9 Ogos di lapangan golf Harding Park, San Francisco diharap dapat menarik kehadiran kira-kira 40,000 penonton sehari, namun perancangan itu adalah sebelum ia ditangguhkan akibat penularan pandemik Covid-19.

Kejohanan PGA dianjurkan oleh PGA Amerika itu pada mulanya di jadualkan pada Mei lalu.

Kali terakhir Harding Park menjadi tuan rumah kejuaraan PGA pada 2015 dan selepas itu tidak pernah lagi menganjurkan pertandingan utama.

Pembinaan tempat duduk penonton sedang dilaksanakan pada Mac lalu apabila jelajah itu ditangguhkan ketika Kejohanan Pemain sedang berlangsung.

Brooks Koepka dijangka mempertahankan kejuaraannya pada saingan di Harding Park.

Koepka dijangka menjadi pemain pertama memenangi Kejohanan PGA tiga kali berturut-turut sejak Walter Hagen melakukannya sebanyak empat kali berturut-turut dari 1924-27.

Terdahulu PGA membatalkan 11 pertandingan dan turut mengkaji semula baki jadual sebelum akhirnya kembali meneruskannya pada minggu lalu menerusi Cabaran Charles Schwab yang berlangsung tanpa penonton.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Jun 2020 @ 8:55 AM