DUPLANTIS memperbaharui rekod dunia miliknya lagi. FOTO AFP
DUPLANTIS memperbaharui rekod dunia miliknya lagi. FOTO AFP
AFP

Eugene: Juara lompat bergalah dunia dan Olimpik, Armand Duplantis memperbaiki rekod dunianya dengan lompatan 6.23 meter (m) pada pusingan akhir Liga Berlian, awal pagi tadi.

Bintang Sweden, Duplantis menambah satu sentimeter berbanding rekod dunia miliknya sebelum ini iaitu 6.22m, yang dicatatnya di Perancis pada Februari.

Dia kini sudah memperbaharui rekod dunia sebanyak tujuh kali. Lima daripadanya dilakukan di dalam dewan manakala dua rekod dunia di luar dewan berlaku di Hayward Field dekat Eugene, di mana dia memenangi gelaran dunia tahun lalu.

"Saya sudah lakukan dua rekod dunia di sini dekat Hayward. Ia mempunyai segala-galanya. Ia mempunyai sejarah dan sentuhan moden. Trek ini sangat pantas, penonton dan suasananya sangat hebat," kata Duplantis.

Duplantis mengekalkan gelaran dunianya di Budapest bulan lalu dengan lompatan 6.10m dan melepasi 6.12m di Ostrava pada Jun lalu.

Dia sudah beberapa kali gagal dalam percubaan 6.23m sejak Februari lalu, termasuk di Brussels hujung minggu lalu, namun mengakui selesa beraksi di padang yang lebih kecil untuk percubaan memperbaharui rekod.

Duplantis sudahpun memperoleh kemenangan dengan ketinggian 6.02m dan dalam percubaan pertamanya untuk melepasi 6.23m, dia menerima sokongan padu penyokong sebelum akhirnya berjaya melakukannya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 September 2023 @ 9:02 AM