PEMAIN PKS Uniten, Nurul Safiqah Mat Isa (kiri) menunjukkan peningkatan dan kesungguhan yang tinggi dalam saingan liga baru-baru ini. - Foto MOHD SYAFIQ RIDZUAN AMBAK
PEMAIN PKS Uniten, Nurul Safiqah Mat Isa (kiri) menunjukkan peningkatan dan kesungguhan yang tinggi dalam saingan liga baru-baru ini. - Foto MOHD SYAFIQ RIDZUAN AMBAK
Naqib Nor Said

 

PENGENDALI Malaysian Tigress, Dhaarma Raj Abdullah bersedia membuat keputusan mengejut memanggil semula pertahanan Nurul Safiqah Mat Isa sebagai persediaan menghadapi temasya Sukan Komanwel Gold Coast, bulan depan.

Selepas diketepikan daripada skuad hoki wanita kebangsaan hampir setahun, pemain berusia 23 tahun itu secara tiba-tiba berada dalam senarai 24 pemain yang akan kembali menyertai kem latihan negara, esok.

Malah, Safiqah yang kerap diturunkan sebagai pertahanan kanan PKS Uniten-KPT dalam saingan Liga Hoki Wanita Malaysia yang berakhir kelmarin, muncul satu daripada dua pemain yang tidak berada dalam senarai 24 pemain pada kali terakhir skuad bimbingan Dhaarma berkumpul bulan lalu.

Selain Safiqah, Dhaarma turut menyenaraikan semula rakan sepasukannya di PKS Uniten, Zafirah Aziz yang disisihkan selepas Sukan SEA 2017 Kuala Lumpur, Ogos lalu.

"Tiada banyak perubahan daripada senarai pemain sebelum ini kecuali dua pertukaran iaitu Safiqah dan Zafirah," kata Dhaarma.

"Kedua-dua mereka menunjukkan peningkatan dan kesungguhan yang tinggi dalam saingan liga baru-baru ini.

"Saya berharap mereka akan menggunakan peluang kedua ini sebaik mungkin tetapi saya tidak pasti sama ada mereka akan disenaraikan ke Sukan Komanwel melainkan mereka berjaya meyakinkan saya dalam latihan kali ini."

Kali terakhir Safiqah bersama skuad kebangsaan adalah ketika Malaysia menghadapi Jelajah Eropah April lalu bagi persiapan akhir berdepan kempen Separuh Akhir Liga Hoki Dunia di Brussels, Belgium.

Dhaarma berkata, dengan keputusan itu memaksanya menggugurkan dua pemain muda dari pasukan UiTM, Dayang Nuramirah Abang Mahadini dan Putri Nur Batrisyia Noor Nawawi (Penang Juniors).

"Keputusan saya menggugurkan Dayang dan Puteri bukan kerana mereka tidak bagus tetapi mereka masih muda dan boleh disenaraikan dalam pasukan Projek 2020 ataupun skuad 5 sebelah Bawah 18 tahun Olimpik Remaja," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Mac 2018 @ 2:52 PM