CLARKE mengakui England bakal berdepan bahaya kehilangan kelab dan liga jika kewangan jatuh. FOTO AGENSI
CLARKE mengakui England bakal berdepan bahaya kehilangan kelab dan liga jika kewangan jatuh. FOTO AGENSI
AFP

PENGERUSI Persatuan Bolasepak England (FA), Greg Clarke memberi amaran masalah kewangan akibat pandemik Covid-19 mampu memusnahkan kelab dan liga negara berkenaan kecuali pemegang taruh bersedia ‘berkongsi kesengsaraan’.

Selepas Liga Perdana Inggeris (EPL) dan tiga lagi divisyen profesional ditangguhkan kerana wabak berkenaan, Clarke gusar penurunan pendapatan mendadak mampu memberi kesan kepada kelab kecil.

Perbincangan antara EPL, Liga Bola Sepak England (EFL) dan Persatuan Pemain Profesional mengenai penundaan dan pemotongan gaji sebanyak 30 peratus masih belum menemui jalan penyelesaian, tatkala banyak kelab mengambil skim pengekalan pekerjaan kakitangan bukan pemain untuk menjimatkan wang mereka.

FA mengumumkan Isnin lalu menerima elaun tertinggi mereka, termasuk jurulatih England, Gareth Southgate, mengambil pemotongan sebanyak 30 peratus, manakala ahli pengurusan kanan melakukan pemotongan 15 peratus.

Bagaimanapun, Clarke berkata, langkah sedemikian masih belum mencukupi kecuali semua pihak membantu kelab kurang berkemampuan.

“Bola sepak berdepan cabaran ekonomi di luar jangkaan. Pandemik ini akan disambung dengan masalah ekonomi dan semua sektor perniagaan merasai kesannya.

“Kita berdepan bahaya kehilangan kelab dan liga jika kewangan jatuh. Banyak komuniti akan hilang kelab kesayangan mereka dengan peluang untuk kekal agak tipis.

“Dalam menghadapi kesukaran yang tidak pernah berlaku ini, semua pemegang taruh daripada pemain, penyokong, kelab, pemilik dan pengurusan harus bangkit serta berkongsi kesengsaraan agar bola sepak kembali pulih,” kata Clarke kepada Ahli Majlis FA.

FA menjangkakan mereka akan mengambil sekurang-kurangnya 100 juta pound (RM537 juta) berikutan penangguhan suku akhir Piala FA dan perlawanan antarabangsa.

“Kita harus mempunyai perancangan bagi memastikan bola sepak England tidak hancur,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 April 2020 @ 10:05 AM