LAMPARD pada sidang media di Stamford Bridge menjelang pertemuan dengan Bayern Munich. FOTO AFP
LAMPARD pada sidang media di Stamford Bridge menjelang pertemuan dengan Bayern Munich. FOTO AFP
AFP

PENGURUS Chelsea, Frank Lampard berharap skuad bimbingannya mampu melakar kejutan ke atas Bayern Munich di saingan Liga Juara-Juara awal pagi esok di sebalik prestasi hambar pada saingan Liga Perdana Inggeris.

Kemenangan 2-1 ke atas Tottenham, Sabtu lalu adalah kemenangan pertama Chelsea dalam lima perlawanan di saingan liga untuk kekal menduduki kelompok empat terbaik liga serta layak ke aksi Liga Juara-Juara musim depan.

Bayern dilihat pilihan untuk menewaskan skuad kurang berpengalaman bimbingan Lampard dan sekali gus berpeluang membalas dendam kekalahan pada aksi final Liga Juara-Juara pada 2012.

Lampard yang turut beraksi pada malam kemenangan Chelsea di Munich itu percaya beliau dapat mencari kelemahan pendahulu Bundesliga itu.

“Tugas saya adalah untuk mempersiapkan pasukan, melihat kekuatan lawan dan pasukan sendiri selain mengkaji juga kelemahan pihak lawan.

“Saya faham jika orang ramai menggelar kami pasukan bukan pilihan kerana Bayern jelas lebih kuat. Malah jika anda melihat kepada pasukan, kejayaan dan pengalaman, kami tidak dapat menandingi Bayern.

“Tapi pasukan bukan pilihan berperanan untuk mengubah situasi. Saya akan fokus untuk memenangi perlawanan ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Februari 2020 @ 9:44 AM