S BALACHANDRAN
S BALACHANDRAN
Firdaus Hashim


CALON hangat S Balachandran yang disebut-sebut sebagai pengganti Datuk Ong Kim Swee tidak boleh mendabik dada apabila beliau perlu bersaing dengan lima lagi calon tempatan lain bagi mengendalikan skuad bawah 23 tahun (B-23) negara.

Selain Balachandran yang kini bertugas selaku penolong jurulatih skuad senior bimbingan Tan Cheng Hoe, lima lagi calon membabitkan beberapa jurulatih tempatan turut akan dipertimbangkan untuk mengisi kekosongan itu.

Difahamkan, antara lima pencabarnya, Balachandran atau lebih mesra dipanggil Bala bakal mendapat tentangan sengit daripada bekas penolong jurulatih Harimau Malaya dan Petaling Jaya Rangers, Hassan Sazali Waras.

Menurut Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Stuart Ramalingam, satu mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Pasukan Bolasepak Kebangsaan akan diadakan pada penghujung Februari atau awal Mac depan untuk memutuskan calon sesuai.

“Bukan saja Bala (Balachandran) tetapi kita sebenarnya ada lima lagi calon yang akan dipertimbangkan untuk mengisi tempat Kim Swee.

“Memandangkan tahun ini jadual skuad B-23 tidak ada apa-apa pertandingan rasmi, kita memutuskan untuk membuka permohonan berkenaan kepada jurulatih tempatan dan kini ada enam calon.

“Siapa pengganti Kim Swee akan dapat kita ketahui selepas mesyuarat pengurusan skuad kebangsaan bersidang pada bulan depan atau Mac nanti,” katanya ketika dihubungi kepada Arena Metro.

Ditanya kriteria pemilihan, Stuart mengakui badan induk itu mahu mencari jurulatih yang turut mengamalkan falsafah permainan sama seperti yang diterapkan oleh skuad senior negara.

“Kalau boleh kita mahu jurulatih itu tahu corak permainan skuad senior kerana kelompok pemain ini juga akhirnya akan menyarung jersi pasukan senior.

“Malah, skuad B-23 ini juga akan dipantau oleh Cheng Hoe, jadi sebaiknya biarlah mereka (jurulatih yang dipilih) yang tahu apa dimahukan skuad senior,” katanya.

Sebelum ini, nama Balachandran disebut sebagai individu untuk memikul tanggungjawab itu selepas kontrak Kim Swee tidak disambung FAM pada penghujung Disember lalu.

Untuk rekod, prestasi Balachandran cemerlang terutama ketika membimbing skuad B-16 tahun negara dari 2013-2015.

Sepanjang tempoh berkenaan, beliau menghadiahkan Kejuaraan AFF B-15 serta menjuarai Piala Juara-Juara Asia Frenz United pada 2014 selain hampir melakar sejarah mara ke Piala Dunia B-17 sebelum tunduk 1-2 kepada Australia di suku akhir Kejuaraan AFC B-16 di Bangkok, Thailand pada 2015.

Malah, menerusi sentuhan beliau juga menyaksikan jurulatih itu berjaya melahirkan bintang bola sepak seperti penjaga gol JDT, Haziq Nadzli; dua pemain Pahang, R Kogileswaran dan R Dinesh dan ramai lagi.

Begitupun, kredebiliti Hassan tidak boleh diketepikan begitu saja dengan pencapaian paling gemilang sudah tentu ketika membantu skuad B-23 memenangi pingat emas Sukan Sea 2011 di Indonesia sebagai penolong jurulatih kepada Kim Swee.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 January 2020 @ 6:00 AM