AMARINA (kanan) mahu rakan sepasukan kawal Rahmah.
AMARINA (kanan) mahu rakan sepasukan kawal Rahmah.
Naqib Nor Said


PERTAHANAN Pahang, Siti Noor Amarina Ruhani sedia menyekat kemaraan penyerang Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Siti Rahmah Othman menjelang pertemuan kedua-dua pasukan pada aksi separuh akhir Piala Razak, esok.

Menurut Amarina, dia mengetahui setiap kelebihan dimiliki Rahmah, 31, memandangkan dia sudah bermain bersama tonggak ATM itu sejak berusia 10 tahun dan beraksi bersama-sama dalam pasukan kebangsaan.

Amarina yang juga kapten skuad negara berkata, biarpun kelebihan di atas kertas memihak kepada Pahang tetapi dia dan rakan sepasukan tidak boleh mengambil mudah cabaran ATM terutamanya kemampuan pemusnah Rahmah.

“Peluang kedua-dua pasukan seimbang, siapa yang dapat manfaatkan setiap peluang akan keluar sebagai pemenang dengan ATM memiliki kekuatan tersendiri di setiap bahagian.

“Apapun, kami perlu berhati-hati dengan kelibat Rahmah jika mahu menewaskan ATM kerana dia seorang pemain yang mampu membawa perbezaan kerana saya sudah bermain bersama dia sejak berusia 10 tahun dan tahu kemahiran menggelecek yang dimilikinya.

“Selain dia, semua orang tahu ATM juga memiliki dua lagi pemain tonggak iaitu Juliani Mohamad Din di bahagian pertahanan dan Surizan Awang Noh (tengah),” kata pemain berusia 30 tahun itu ketika dihubungi, sebentar tadi.

Penyudah tajam Rahmah terbukti sepanjang tiga aksi Kumpulan B sebelum ini apabila meledak satu gol masing-masing ketika ATM tewas 1-2 kepada Selangor dan menang 1-0 ke atas Melaka.

Di atas kertas, Pahang yang memenangi kesemua empat perlawanan dalam aksi Kumpulan A dengan menewaskan Terengganu 4-0, Kuala Lumpur (5-1), Perak (2-0) dan Indonesia (4-0), bagaimanapun dilihat mempunyai kelebihan selepas diperkuatkan kehadiran tujuh pemain kebangsaan.

ATM pula hanya dibarisi tiga pemain negara iaitu kapten pasukan Juliani Mohamad Din, Surizan dan Rahmah.

“Kami sedar kelebihan yang dimiliki Pahang,” kata Juliani. “Namun, kami percaya tiada yang mustahil untuk melakukan kejutan dan harap tuah memihak kepada kami.”

Jadual esok

Separuh akhir

Pahang mln ATM, 4ptg

Selangor mln Kuala Lumpur, 6.30ptg

*Semua perlawanan di Stadium Hoki Kuala Lumpur

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 November 2017 @ 6:10 PM