TLHT (jersi putih) muncul juara selepas 11 perlawanan yang memenatkan. FOTO Nurul Shafina Jemenon
TLHT (jersi putih) muncul juara selepas 11 perlawanan yang memenatkan. FOTO Nurul Shafina Jemenon
Ferzalfie Fauzi


KUALA LUMPUR: Selepas mengharungi 11 perlawanan yang memenatkan, Pasukan Hoki Wanita Terengganu (TLHT) akhirnya berjaya merangkul gelaran Liga Hoki Wanita Malaysia biarpun masih berbaki satu perlawanan.

Mereka mengesahkan gelaran selepas mencatat kemenangan ke-10 semalam mengalahkan KL Wipers 3-0 di Stadium Hoki Tun Abdul Razak.

Menurut ketua pasukan, Siti Noor Amarina Ruhani, dia sangat berbangga dari segi prestasi keseluruhan pasukannya walaupun mengharungi 11 perlawanan yang sangat meletihkan.

“Memang sangat berbaloi kerana kami berjaya meraih kejuaraan liga dan sekurang-kurangnya satu matlamat kami sudah tercapai. Selepas ini kami akan mengharungi satu lagi perlawanan menentang kelab dari China, Kelab Hoki Liaoning Infinite Space (LISHC).

“Ia juga salah satu tekanan buat kami untuk menghabiskan perlawanan terakhir liga sebelum beraksi di separuh akhir untuk saingan kalah mati bagi merebut trofi, Piala Vivian May Soars,” kata pemain kebangsaan itu.

Ditanya mengenai perlawanan semalam, pemain kelahiran Pulau Pinang itu berkata mereka tetap mengambil serius walaupun berdepan pasukan kedua tercorot.

“KL bermain dengan baik hari ini terutama dari segi aspek bertahan dan mengawal pemain. Mereka juga melakukan serangan dengan baik sekali.

“Kita pula ada beberapa peluang yang gagal untuk disempurnakan dan perkara ini harus diperbaiki sebelum memasuki peringkat separuh akhir kalah mati,” kata Siti Amarina.

Dalam perlawanan semalam, TLHT membuka jaringan menerusi pukulan sudut penalti Siti Rahmah Othman pada minit ke-23, sebelum Fatin Shafika Mohd Sukri menambah gol kedua 11 minit kemudian menerusi gerakan yang sama.

TLHT yang kali terakhir muncul juara liga pada 2017, memperoleh gol ketika menerusi pukulan sudut penalti yang disempurnakan oleh Siti Amarina.

TLHT muncul juara selepas mengumpul 30 mata, manakala di tempat kedua ialah jaura musim lalu,PKS Uniten yang ketinggalan lima mata dan pada aksi terakhir semalam mereka berjaya mengalahkan SSTMI 5-1.

Turut berlangsung semalam ialah perlawanan di antara LISHC dan PSHA - MSSPP, yang menyaksikan kelab dari China itu menang besar 16-0.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Februari 2019 @ 10:46 PM