PENGURUS Norwich City, Daniel Farke. FOTO Reuters
PENGURUS Norwich City, Daniel Farke. FOTO Reuters
Reuters

NORWICH City yang kini bergelut di Liga Perdana Inggeris enggan melakukan ‘pembelian panik’ pada jendela perpindahan Januari untuk cuba melepasi zon penyingkiran.

Pengurus Daniel Farke, yang pasukannya kini di tangga tercorot dan tujuh mata tercicir daripada Aston Villa di tangga ke-17 selepas 21 perlawanan, memberitahu wartawan bahawa skuad Canaries itu tidak akan begitu aktif dalam beberapa minggu ini.

“Bagi pemain yang melihat kedudukan liga, mereka akan melihat kami mungkin tersingkir,” kata pengendali kelahiran Jerman itu menjelang aksi pusingan ketiga Piala FA membabitkan Norwich dengan pasukan divisyen kedua Preston North End malam ini.

“Jika anda berada dalam kedudukan ini, anda tidak boleh mengesahkan anda akan berada di liga ini musim depan, jadi ia menjadikan ia lebih sukar.

“Saya tidak berminat untuk melakukan banyak urusan jual beli, namun kami tidak akan terleka. Kami akan terus waspada untuk mengukuhkan pasukan tetapi tidak akan melakukan pembelian panik. Ia perlu bersesuaian dengan masa depan kelab.”

Norwich akan beraksi tanpa penjaring terbanyaknya Teemu Pukki untuk aksi menentang Preston susulan kecederaan hamstring dan pemain Finlad itu juga akan terlepas aksi Liga Perdana Inggeris 11 Januari ini menentang Manchester United di Old Trafford.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 January 2020 @ 9:17 AM