IBRAHIMOVIC kembali ke Serie A. FOTO Agensi
IBRAHIMOVIC kembali ke Serie A. FOTO Agensi
AFP

BINTANG Sweden, Zlatan Ibrahimovic akan diperkenalkan secara rasmi sebagai pemain AC Milan pada 3 Januari, umum kelab Itali itu, awal pagi tadi.

Ibrahimovic mengikat kontrak enam bulan dengan misi memulihkan reputasi Milan musim ini.

Pemain berusia 38 tahun itu akan menjalani ujian perubatan pada Khamis dan mengadakan sidang akhbar pertamanya keesokan hari.

"AC Milan mengumumkan sidang akhbar Zlatan Ibrahimovic berlangsung pada Jumaat, 3 Januari di Casa Milan pada jam 10 pagi,” menurut kenyataan kelab.

Kontrak enam bulan itu dilaporkan bernilai 3.5 juta euro (RM16 juta) serta bonus dengan pilihan lanjutan setahun.

Ia kali kedua pemain veteran itu beraksi bersama Milan selepas tujuh tahun meninggalkan kelab menuju Paris Saint-Germain. Dia beraksi bersama Rossoneri di antara 2010-2012 dengan menjaringkan 56 gol dalam 85 penampilan dan membantu kelab menjuarai gelaran liga ke-18 dan terakhir pada 2011.

Salah satu kelab paling berjaya di dunia, AC Milan kini terperosok di tangga ke-11 dengan hanya tujuh mata di atas zon penyingkiran.

Mereka berdepan ketumpulan jentera serangan apabila hanya mampu menjaringkan 16 gol daripada 17 perlawanan setakat ini dan aksi Milan selepas ini menentang Sampdoria di tempat sendiri pada 6 Januari.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 Disember 2019 @ 7:33 AM